KONSEP Toyota Kikai.
KONSEP Suzuki Might Deck.
HONDA Civic Type R.

Jepun sekali lagi menjadi medan penting bagi industri automotif global mempamerkan kenderaan masing-masing sempena Pameran Motor Tokyo (TMS) yang diadakan setiap dua tahun.

Pameran kali ke-44 itu diadakan lebih awal berbanding sebelum ini iaitu setiap November dilihat menerapkan tema Mobiliti Bandar Pintar 2015 yang dianjurkan Persatuan Pe­ngeluar Automobil Jepun.

Sebanyak 160 pengeluar dari 11 negara mempamerkan produk masing-masing termasuk kereta, motosikal, kenderaan komersial serta barangan aksesori.

Pada tahun ini, 76 pelancaran global diadakan, manakala 68 lagi untuk pasaran Jepun di mana bakal menarik lebih ramai pengunjung berbanding 902,800 yang dicatatkan dua tahun lalu.

Selaku tuan rumah, automotif daripada negara matahari terbit itu lebih menguasai ruang pameran, manakala 16 pengeluar kenderaan luar negara turut menyerikan acara berkenaan.

Bagaimanapun, ruang sisipan Vroom Metro Ahad yang turut menyaksikan acara pembukaan TMS pada Rabu lalu hanya memilih beberapa model menarik untuk dikongsikan:

HONDA CLARITY FUEL CELL

Honda Motor Co Ltd memperkenalkan model konsep terbarunya menerusi Honda Clarity Fuel Cell di Pameran Motor Tok­yo.

Kereta sedan itu bakal menjadi penanda aras bagi kategori kenderaan sel bahan api (FCV) pada masa akan datang.

Ia sudah dibangunkan dengan teknologi Honda sebelum ini, tetapi lapisan sel bahan api dikecilkan sehingga 33 peratus yang turut menyalurkan lebih kuasa sehingga 100 kw.

Kombinasi rangkaian kuasa yang lebih jimat itu membuatkan ia mampu dipandu melebihi 700 kilometer (km) sekali gus menjadi FCV paling jauh boleh dipandu setakat ini.

Honda Clarity Fuel Cell bakal dijual untuk pasaran Jepun pada Mac tahun depan.

HONDA CIVIC TYRE R

Kereta sport yang sebelum ini dilancarkan untuk pasaran Eropah kini mula dijual bagi pasaran Jepun.

Kereta yang dijanakan enjin 2.0 liter DOHC Vtec Turbo dengan padanan kotak gear manual enam kelajuan itu menyalurkan 310 PS serta tork setinggi 400 Nm.

Bagaimanapun, ia hanya ditawarkan 750 unit sahaja yang dijual pada harga 4.28 juta Yen (RM151,772).

KONSEP SUZUKI MIGHT DECK

Ia sebuah jentera konsep urban bagi memenuhi aktiviti luar dengan bentuk kenderaan kompak.

Kereta dua tempat duduk itu turut mempunyai ruang tempat belakang seperti sebuah pikap untuk memudahkan mengisi barang.

Ruang kokpit menggunakan kefungsian masa depan dengan papan pemuka yang memaparkan maklumat peta, perkhidmatan rangkaian sosial serta maklumat kenderaan.

Suzuki Might Deck menggunakan enjin turbo bersaiz kecil dengan tiga silinder berkapasiti 658 cc yang turut dipadankan transmisi automatik lima kelajuan.

KONSEP SUZUKI AIR TRISER

Jentera konsep dengan reka bentuk mini van jenama Suzuki ini menggunakan enjin empat silinder hibrid DualJet yang dijanakan pacuan empat roda.

Suzuki Air Triser menawarkan ketenangan kepada penggunanya yang mana kerusi tiga barisan boleh diubah posisi sama ada bertentangan atau sebaliknya.

Malah ia didatangkan dengan paparan multi-fungsi untuk hiburan bagi mendengar muzik, gambar dan banyak lagi sekali gus memberi ketenangan kepada peng­gunanya.

KONSEP MAZDA RX-VISION

Mazda Motor Corporation (MMC) melancarkan model sports konsep terbarunya kombinasi menggunakan berenjin hadapan serta pacuan roda belakang bersama rekaan KODO.

Sebagaimana sedia maklum, ia menggunakan enjin rotari yang memiliki binaan unik. Ia menghasil­kan kuasa menerusi pergerakan rotari rotor berbentuk tiga segi.

Sebagai satu-satunya pengeluar yang menghasil­kan enjin rotari secara komersial, Mazda terus menambah baik output kuasa, penjimatan bahan api dan ketahanan enjin berkenaan.

Dengan tema ‘Acccelerate Towards Our Dreams’, Mazda turut mempamerkan beberapa model lain termasuklah Mazda2 (Demio), CX-3 dan MX-5 pada TMS 2015.

KONSEP NISSAN IDS

Kenderaan pintar yang diperkenalkan secara global ini adalah kenderaan masa depan yang seronok serta bebas pemanduan.

Sebagai kereta masa depan, ia ditawarkan dua mod pemanduan iaitu manual serta ‘piloted’.

Bagi mod ‘piloted’, pemandunya boleh berehat dan pada masa sama stereng akan bertukar menjadi paparan besar manakala kereta boleh bergerak tanpa pemandu perlu memegang stereng.

Jentera itu turut memberi keselesaan kepada empat penumpang serta menawarkan sistem hiburan, selain dilengkapi teknologi untuk mengetahui keadaan trafik.

KONSEP YAMAHA SPORT RIDE

Kali ini, Yamaha selaku pengeluar motosikal memperkenalkan model konsep kereta yang mempunyai dua tempat duduk.

Rekaan yang diba­ngunkan dengan menerapkan ‘Live and Ride’ itu menawarkan pemanduan menyeronokan untuk kegunaan harian.

Bagaimanapun, rang­kaian kuasanya tidak didedahkan cuma beratnya mencecah 750 kg dengan panjang (3.9 meter) dan ketinggian (1.17 meter).

KONSEP TOYOTA KIKAI

Kereta konsep ini yang dijana dengan enjin hibrid direka untuk menggambarkan kejuruteraan kreatif, keseronokan dan konsep asas automotif sebenar.

Model itu hanya mempunyai tiga kerusi dengan kerusi pemandu terletak di tengah-tengah manakala enjinnya jelas dapat dilihat di bahagian belakang.

Struktur reka bentuk badannya diperbuat daripada gentian fiber yang diperkukuhkan dengan polimer.

KONSEP DAIHATSU D- BASE

Kereta generasi mesra alam ini menawarkan tahap penjimatan bahan api dengan gaya kabin yang pintar dan ruang kabin yang luas.

Model ini dijana dengan enjin berkuasa 660cc, 12 injap dan 3 silinder manakala panjangnya 3.4 meter dan 1.48 meter lebar dengan asas roda 2,455 meter.

KONSEP DAIHATSU TEMPO

Model comel ini boleh berfungsi sebagai kedai bergerak kerana saiznya yang kompak sesuai dipandu di bandar mahupun di mana-mana sahaja untuk tujuan perniagaan.

Dikategorikan sebagai kenderaan komersial, Tempo boleh dijadikan sebagai kafe bergerak atau gerai menjual aiskrim dengan reka hiasan dalam bentuk digital pada badan kenderaan.

KONSEP DAIHATSU NORI ORI

Model ini tampil dengan saiz yang lebar dan tinggi malah lantainya yang rendah memudahkan pengguna kerusi roda

memasuki kenderaan ini dari pintu belakangnya dibantu oleh lantai bergerak.

Ia direka sebagai satu kenderaan berkonsepkan komuter untuk kegunaan warga tua untuk keluar dan masuk dengan mudah malah boleh dipelbagaikan kegunaan untuk membawa barangan bersaiz besar.

DAIHATSU CAST ACTIVA

Model kompak mini ini diperkenalkan pada bulan lalu dan kali ini tampil dengan varian Cast Sport pada akhir bulan ini. Antara varian sedia ada termasuk Cast Activa dan Style.

Terdapat dua varian sama ada pacuan dua roda atau pacuan empat roda dengan pelbagai pilihan warna cat.

KONSEP SUBARU VIZIV

Model Subaru ini direka untuk memenuhi gaya hidup aktif masa kini kerana model ini dipadankan dengan rak membawa basikal pada bahagian belakang.

Model ini juga dipadankan dengan teknologi tanpa pemanduan menerusi sistem EyeSight manakala enjinnya adalah gabungan hibrid dan suntikan turbo.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 5:02 AM