ANNUR (dua dari kiri) bersama sebahagian pengasas Darkside & Co.
Oleh Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Padanan ranggi topi keledar bersama kasut dan sarung tangan kulit satu kemestian buat penunggang motosikal berkuasa tinggi.

Gaya jalanan retro klasik itu antara trend sering digayakan komuniti motosikal yang gemar berfesyen.

Disebabkan permintaan menggalakkan di samping kecederungan minat mendalam terhadap genre stail itu, sekumpulan anak muda tempatan yang berasal dari Kelantan mengasaskan Darkside & Co.

Mereka ialah Ahfizul Zali, Mohd Naqiyuddin, Hyuga Vargas, Asraf Aziz, Wan Ahmad Subhi dan Ahmad Naufalan mencetuskan kombinasi fesyen, elemen muzik serta pengaruh jalanan terhadap rekaan kasut, sarung tangan mahupun topi keledar custom.

Menurut Pengarah Pemasaran label berkenaan Sharifah Annur Al Khred, kualiti terbaik serta nilai eksklusif ditawarkan buat pelanggan Darkside & Co.

“Istimewanya produk kami ialah buatan tangan segi penghasilan secara tidak langsung membezakan pengalaman pemakai dengan produk lain di pasaran.

“Seperti helmet kami menggunakan rekaan serta bahan terpilih. Material luar ialah kaca fiber tahan impak sementara bahagian dalam menggunakan alas fabrik diadora serta kulit sintetik bermutu tinggi. Cat mahupun perincian pada topi keledar berkenaan mendapat sentuhan tangan artis kami.

“Tidak alah, produk kasut kami antara terbaik kerana 100 peratus materialnya kulit. Kulit digunakan bukanlah sebarangan apabila kulit anak lembu gred A menjadi perincian dalam mahupun luar selain ‘lining’ pula terdiri daripada kulit sotong kurita.

“Kasut terdapat dalam pilihan but potongan tinggi atau rendah, ‘sneaker’ serta ‘loafer’. Semestinya seperti aksesori sarung tangan dan helmet, kami turut menggunakan buatan tangan,” katanya.

Koleksi label Darkside & Co. boleh didapati menerusi atas talian di Instagram @darksideandco dan Facebook darksideandco ataupun kunjungi The Offday & Masharakat Concept Store, di MARKAS 68-1 Jalan PJU 5/21 Kota Damansara PJ (berdekatan The Strands).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2015 @ 5:01 AM