PRESIDEN Joko Widodo (tengah) yang diiringi beberapa menterinya melawat penduduk yang terpaksa berpindah kerana asap dan jerebu tebal di Palembang, Sumatera Selatan, semalam.

Jakarta: Jerebu tebal yang melanda Sumatera dan Kalimantan sejak beberapa bulan lalu semakin berkurangan selepas hujan lebat di kedua-dua wilayah berkenaan.

Jurucakap Badan Pengurusan Bencana Kebangsaan (BPNB) Sutopo Purwo Nugroho berkata, kualiti udara di kedua-dua wilayah itu pagi semalam jauh lebih baik berbanding tiga bulan lalu.

“Hujan sepanjang tiga hari lalu membantu meningkatkan kualiti udara dan jarak penglihatan di Sumatera dan Kalimantan,” katanya.

Agensi berita Antara juga memetik Sutopo sebagai berkata, titik panas di kedua-dua wilayah berkenaan juga semakin berkurangan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkannya, dia berkata, keadaan cuaca di Palangkaraya, tengah Kalimantan dilapor cerah pagi semalam walaupun kualiti udara di bandar itu dilaporkan masih tidak sihat sehari sebelum itu.

“Kami berharap lebih banyak hujan di kawasan yang terjejas jerebu,” katanya.

Menurutnya, satelit Terra Aqua mengesan satu titik panas di Kalimantan Selatan kelmarin, 148 dikesan di Sumatera, satu di Bengkulu, 30 di Lampung, satu di Sumatera Barat dan 109 di Sumatera Selatan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 8:11 AM