BIEBER membuat persembahan di Oslo sebelum membatalkan konsert itu.

Oslo: Penyanyi pop Kanada Justin Bieber yang kembali menyerlah di pentas Eropah pada Anugerah Muzik Eropah MTV di Milan Ahad lalu membatalkan konsertnya secara mengejut di sini kelmarin selepas hanya menyanyikan satu lagu.

Penyanyi itu yang mula terkenal ketika berusia 13 tahun dan kemudian menjadi fenomena pop global meraih lima hadiah di Milan. Album pertamanya dalam tempoh tiga tahun dijadual diterbitkan minggu depan.

“Sudah cukup. Saya tidak akan meneruskan konsert ini,” kata Bieber kepada peminatnya selepas mengadu mereka tidak mendengar cakapnya.

Dia kemudian meninggalkan pentas, menyebabkan peminatnya terkejut dan sebahagiannya menangis.

Pesawat peribadinya dilapor meninggalkan lapangan terbang di Oslo sejurus selepas tengah malam kelmarin.

Dalam akaun Instagramnya, penyanyi itu menulis: “Minggu ini terlalu sibuk, tidak cukup tidur. Saya tidak bermaksud untuk kurang ajar, tetapi saya memilih menamatkan konsert itu kerana orang di barisan hadapan enggan mendengar cakap saya.”

Bieber amat popular di
Norway. Beberapa sekolah di negara itu sebelum ini menjadualkan semula peperiksaan untuk membolehkan pelajar mereka menghadiri konsertnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 8:04 AM