PENDATANG dan pelarian berusaha menyelamatkan diri apabila bot yang mereka naiki mula karam di luar pantai Pulau Lesbos, Greece, selepas mereka menyeberang Laut Aegean dari Turki, semalam.

Athens: Sekurang-kurangnya 17 kanak-kanak mati lemas apabila tiga bot karam dalam pelayaran ke Greece dari Turki, tragedi terbaru membabitkan pendatang yang berusaha mencari perlindungan di Eropah.

Sembilan dewasa juga maut dalam nahas berkenaan yang sekali lagi menyerlahkan bahaya dihadapi pendatang ketika Eropah berdepan dengan krisis migran paling buruk sejak Perang Dunia Kedua.

Walaupun pasukan penyelamat Greece dan Turki berjaya menyelamatkan 157 orang di laut semalam, kematian akibat lemas berlaku hampir setiap hari berikutan ribuan orang menyabung nyawa meredah ombak dan cuaca sejuk untuk berlayar dalam bot kecil dan sesak.

Mengulas mengenai kejadian terbaru itu, Perdana Menteri Greece Alexis Tsipras berkata, adalah sesuatu yang memalukan kerana Eropah gagal menghalang satu lagi tragedi kemanusiaan.

Dia juga berkata, adalah penting untuk bertindak menghalang Laut Aegean daripada menjadi kubur bagi mereka yang melarikan diri dari peperangan dan kemiskinan.

Kebanyakan kematian semalam berlaku di luar pantai pulau Greece - Kalymnos dan Rhodes - tempat 22 orang mati lemas, antaranya 13 kanak-kanak.

Keseluruhannya, 138 orang diselamatkan dari dua bot dengan pengawal pantai meneruskan usaha mencari mangsa terselamat.

Tidak jauh dari situ wartawan AFP melihat satu lagi bot hampir karam di perairan pulau Lesbos dengan sekumpulan orang memanjat bumbung sambil menjerit meminta bantuan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 7:48 AM