Oleh Ferzafie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menyempurnakan pukulan putt dengan mudah untuk membenam birdie menjadi kunci utama Justin Thomas (gambar) merampas kedudukan pendahulu keseluruhan pada hari kedua Klasik CIMB di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) semalam.

Pemain berusia 22 tahun itu mencatat 11 di bawah par 61 untuk mengumpul keseluruhan 129 pukulan untuk mendahului dengan satu pukulan ke atas rakan senegara, Brendan Steele yang melakukan sembilan bawah par 63 (130).

Menurut Thomas, dia bermula dengan cemerlang semalam dan cuba untuk menempatkan bola ke dalam green sebelum melakukan pukulan putt yang mudah.

“Memang hari ini (semalam) segala-galanya sempurna buat saya. Hari di mana anda turun ke lapangan tidak perlu berdepan kerisauan dan hanya bermain dengan gembira. Ia tidak akan selalu berlaku seperti ini,” katanya pada sidang media selepas menamatkan aksi semalam.

Thomas cemerlang apabila mencatat birdie seawal lubang pertama sebelum melakukan eagle di lubang ketiga seterusnya melengkapkan pusingan kedua dengan mengumpul tujuh lagi birdie.

Pemain kelahiran Louisville, Kentucky itu berkata, kesabaran juga menjadi perkara terpenting dipelajarinya sepanjang dua hari mengharungi kejohanan bernilai AS$7 juta (RM30.02 juta) itu.

“Melihat kepada keputusan semasa, saya perlu melakukan lebih banyak birdie dan kekalkan permainan seperti ini selain selain bebas daripada sebarang bogey,” katanya.

Ditanya mengenai lapangan KLGCC, Thomas memberitahu, ini adalah kali pertama dia beraksi di sini dan mengakui masih lagi berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca selain perbezaan waktu.

Pusingan kedua menyaksikan pendahulu hari pertama Scott Piercy (Amerika Syarikat) berkongsi kedudukan ketiga bersama Hideki Matsuyama (Jepun) dan Spencer Levin (Amerika Syarikat) selepas mengumpul 131 pukulan manakala bekas pemain No 1 dunia, Adam Scott (Australia) menamatkan saingan pada kedudukan kesembilan.

Sementara itu, Anirban Lahiri dari India berkongsi kedudukan ke-21 bersama Sergio Garcia, Alex Cejka, Scott Hend, Branden Grace, Daniel Summerhays dan Paul Peterson selepas mengumpul 137 pukulan, tujuh bawah par secara keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 5:46 AM