Kuala Lumpur: Pemain golf profesional negara, Danny Chia (gambar) terus konsisten apabila mencatat satu atas par 71 seterusnya mengumpul 142 pukulan pada hari kedua Klasik CIMB di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) semalam.

Bagaimanapun, juara Masters Taiwan itu yang bermula dari lubang 10 semalam, terpaksa berdepan dengan tiupan angin sehingga menyaksikannya mencatat double bogey di lubang 11 dan bogey di lubang 14.

“Saya sebenarnya bermula dengan baik termasuk ketika membuat pukulan pertama di lubang 11 tapi pada saat akhir angin mula bertiup menyebabkan bola saya masuk kolam, seterusnya mencatat double bogey,” katanya selepas menamatkan aksi semalam.

Pemain berusia 43 tahun itu bernasib baik apabila berjaya bangkit di pertengahan permainan dengan melakukan birdie di lubang 3, 5, 6, dan 17.

Dengan mengumpul dua bawah par 142, Danny berkongsi kedudukan ke-57 bersama lima pemain lain Harris English, Scott Pinckney, Chesson Hadley, Daniel Berger (Amerika Syarikat) dan Greg Owen (England).

“Petua untuk bangkit dari permulaan buruk, ialah sentiasa bermain mengikut rentak anda sendiri. Sebenarnya tidak ada banyak pilihan yang boleh dilakukan.

“Saya cuba untuk tidak melakukan sebarang kesilapan lagi untuk keseluruhan aksi pusingan kedua hari ini (semalam) dan cuba mencatat keputusan sederhana,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemain negara, Ben Leong hanya melakukan menyamai par semalam dan mengumpul 143 pukulan untuk berkongsi kedudukan ke-64 bersama pemain Amerika Syarikat, Gary Woodland.

Arie Irawan Ahmad Fauzi pula berjaya memperbaiki sedikit permainannya untuk mencatat dua di atas par 74 bagi mengumpul 149 pukulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 5:45 AM