BOUCLE, shearling dan macrame diangkat sebagai alternatif penggunaan bulu serta kulit haiwan.
Oleh Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my


Boucle, shearling dan macrame saling beralun menghasilkan rentak kontra bagi setiap lenggokan siluet feminin.

Boucle, shearling dan macrame ini juga diangkat oleh Ralph Lauren sebagai alternatif kepada penggunaan bulu serta kulit haiwan yang lazimnya digunakan secara meluas bagi himpunan musim ini.

Macrame ialah ikatan atau simpulan tali, tali pintal atau yarn untuk membentuk corak; boucle pula sejenis yarn yang terdiri daripada tiga helaian dan setiap satunya membentuk gelung secara bersela untuk membentuk serat pakaian sementara shearling ialah gumpalan bulu biri-biri yang diambil tanpa mencederakan atau merosakkan haiwan itu.

Apa yang cuba disampai Ralph Lauren amat jelas. Tidak perlu memburu haiwan semata-mata untuk fesyen dan dengan sedikit kreativiti mampu mencetuskan hasil yang hampir sama malah lebih baik daripada sebelumnya.

Menerusi koleksi Polo Ralph Lauren musim ini, aura wanita berkeyakinan tinggi dan seksi diangkat sebagai teraju utama.

“Gadis Polo ialah gadis bandar yang dibesarkan ­dengan warisan pinggir bandar bersama personaliti gaya tersendiri.

“Dia mempunyai aura bertenaga pada setiap penampilannya daripada sut jalur kecil berpotongan lurus hinggalah ke jaket inspirasi vintaj gadis Polo sentiasa terikat dengan ciri romantis serta khazanah lampau yang diwarisinya.

“Pada masa sama, saya teruja untuk melihat jenama Polo ini berkembang dan berubah setiap tahun tetapi masih mengekalkan DNA asalnya,” ujar Ralph Lauren.

Helaian Polo kali ini diberikan nadi segar dan moden pada rekaan klasik Amerika. Baju panas Shetland disuntik rona terang sementara helaian rajut lebih ringkas dengan gadingan suede untuk generasi muda.

“Saya sukakan sesuatu yang di luar jangkaan - gabungan santai bersama mewah,” tambahnya.

Kasual bohemian juga menjadi antara inspirasi dalam himpunan kali ini apabila palet krim diadun bersama tekstur kashmir, corak ikonik Southwestern dan tambahan shearling, rambu serta suede.

Untuk stail lebih anggun, tuksedo klasik diubah ­menjadi helaian tailcoat yang tampak chic lalu dipakai bersama celana kulit dan tali pinggang concha.

Jika ingin lebih feminin, kain tafeta fuksia digunakan yang menaikkan lagi penampilan malam lebih glamor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 5:02 AM