Soh Chew Tong, 44, (kanan) dan isterinya, Chin Chui Ling, 42, (kiri) dibawa anggota polis selepas selepas dijatuhkan hukuman penjara 24 tahun kerana menyebabkan kematian pembantu rumah oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, pada Mei 2013. - Foto NSTP (Fail).

Putrajaya: Seorang surirumah menangis dan meraung apabila Mahkamah Rayuan mengembalikan hukuman mati terhadapnya dan suaminya kerana membunuh pembantu rumah mereka dengan membiarkan warga Kemboja itu mati kelaparan.

Chin Chui Ling, 43, menangis dan pada satu ketika rebah dalam kandang tertuduh selepas jurubahasa mahkamah menjelaskan kepadanya dan suaminya, Soh Chew Tong, 46, mengenai keputusan mahkamah itu.

Soh turut memegang Chin sambil mententeramkannya.

Pasangan itu, yang dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu mendengar rayuan mereka, kemudian digari dan dibawa semula ke lokap oleh anggota polis yang ditempatkan di mahkamah.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan untuk mengembalikan sabitan terhadap Soh, yang juga pemilik stor, dan Chin kepada tuduhan asal membunuh pembantu rumah mereka, Mey Sichan, 24, yang mempunyai berat badan hanya 26.1 kilogram.

Soh dan Chin, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada 16 Mei 2013 atas tuduhan pindaan membunuh tanpa niat.

Mey Sichan, yang mula bekerja dengan pasangan itu pada Julai 2011, dijumpai mati di rumah kedai pasangan suami isteri itu di Taman Asas Murni, Jalan Bukit Minyak di Bukit Mertajam, Pulau Pinang

dengan kesan kecederaan lama dan baharu pada badannya selain mengalami dehidrasi dan keadaan pipinya yang cengkung.

Hakim Datuk Seri Zakaria Sam, yang menyampaikan keputusan sebulat suara panel hakim, berkata mahkamah mendapati rayuan balas pihak pendakwa mempunyai merit.

Beliau mengketepikan sabitan pasangan itu atas tuduhan melakukan pembunuhan tanpa niat dan hukuman penjara serta menggantikannya dengan hukuman mati kerana membunuh.

Panel hakim juga menolak rayuan pasangan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara.

Peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili pasangan itu berkata beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Persekutuan.

Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman mengendalikan pendakwaan bagi kes itu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 8:51 PM