Enjin pesawat yang hangus selepas kebakaran dipadamkan anggota bomba. - Foto AP
Petikan gambar daripada rakaman video amatur, Mike Dupuy, penumpang sebuah pesawat lain menunjukkan asap berkepul dari enjin pesawat Boeing 767-200ER milik Dynamic International Airways di lapangan terbang di Florida. - Foto Reuters

Fort Lauderdale, Florida: Enjin jet pesawat penumpang ke Caracas, Venezuela, terbakar ketika sedang bergerak untuk berlepas di lapangan terbang Florida, memaksa penumpang keluar melalui pintu kecemasan menyebabkan 15 cedera dengan seorang daripadanya parah, hari ini.

Seramai 101 penumpang diarahkan meninggalkan pesawat Boeing 767-200ER milik Dynamic International Airways beberapa minit selepas juruterbang menyedari kebakaran pada enjin itu.

Rakaman televisyen menunjukkan pesawat dikelilingi buih pemadam api dan trak bomba dengan enjin kirinya hangus.

Bahan api pesawat berusia 29 tahun itu bocor

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan, bahan api pesawat berusia 29 tahun itu bocor sebelum berlepas dan minyak yang keluar ketika pesawat bergerak untuk berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Fort Lauderdale-Hollywood, disedari krew landasan lalu memberitahu menara kawalan.

Kebanyakan kecederaan dialami penumpang ialah bengkak, lebam dan calar, termasuk seorang kanak-kanak yang dirawat di Pusat Perubatan Broward.

Peladang, Luis Campana, 71, yang dalam perjalanan ke Guarico, Venezuela, bersama isteri dan adiknya yang duduk di bahagian depan pesawat berkata, ketika juruterbang memecut enjin pesawat, enjin itu meletup.

“Kami diarah keluar melalui pintu kecemasan dan ketika itu asap mula masuk ke dalam pesawat manakala enjin sudah terbakar," katanya.

Bekas penyiasat kemalangan untuk Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, Greg Feith, bencana itu boleh menjadi lebih buruk jika enjin berkenaan terbakar ketika pesawat sudah berlepas.

“Api boleh merosakkan sayap dan tangki minyak, melumpuhkan sistem kawalan hidraulik dan elektronik menyebabkan mustahil untuk membuat pendaratan kecemasan,” katanya.

Pesawat 767-200ER itu yang menggunakan enjin Pratt & Whitney JT9D, dibina pada 1986 dan daripada 65 pesawat dikeluarkan, hanya ada tujuh sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 4:23 PM