Jasin: Bukit Katil Cycling Club (BKCC) menyandarkan dua atlet berbasikal Melaka bersaing dalam kategori XC Race (Junior) pada Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia di Asahan, 28 dan 29 November ini.

Meletakan harapan kepada Muhammad Rabani Rosman dan Muhammad Arif Zainal, BKCC yakin gandingan dua pelumba itu mampu memberi saingan kepada nama besar dalam kategori sama.

Setiausaha BKCC Dazri Daud berkata, pasukannya kini memberi tumpuan kepada dua peserta junior itu yang dilihat berpontesi mendapat kedudukan podium atau sekurang-kurangnya kelompok 10 terbaik.

Katanya, beliau yakin Rabani mampu berjaya berdasarkan keupayaannya menaiki 12 podium pada pelbagai kejohanan disertainya.

“Kita membuat jangkaan ini berdasarkan rekod terbaiknya dan hanya menanti kejutan dilakukannya pada hari kejohanan.

“Rabani akan menebus kekecewaannya selepas gagal menempatkan diri dalam kelompok terbaik pada sirkit ketiga di Nibong Tebal selepas basikalnya mengalami kerosakan,” katanya.

Dazri berkata, setakat ini semua masalah teknikal sudah diatasi dan pasukannya yakin sirkit keempat di negeri ini mampu mengharumkan nama kelab.

Katanya, sebagai pasukan tuan rumah, mereka akan menggunakan kesempatan itu memburu kejayaan.

“Kerana itu kami letakkan harapan kepada Rabani dan Arif untuk menempah nama demi masa depan mereka menerusi kejohanan besar seperti ini,” katanya.

Beliau berkata, BKCC juga tampil dengan 18 pelumba dalam kategori Terbuka Metro (Jamboree) Men Elite, Lelaki Master dan Junior.

“Kita turut memberi tumpuan pada kayuhan laluan ‘off-road’ pada hujung minggu sebagai menguji kecekapan dan membentuk stamina,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:07 AM