Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perbalahan antara Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim bersama Robert Ballard semakin ketara apabila nama Pengarah Teknikal itu tiada dalam senarai program Kita Juara bagi sukan olahraga.

Tidak mahu mengulas mengenai perkara itu, Karim ketika ditemui menolak memberikan sebarang komen berhubung kedudukan Ballard dalam program yang bermatlamatkan Malaysia muncul juara keseluruhan pada Sukan SEA 2017.

Katanya, setiap jurulatih atau siapa saja yang dilantik perlu memenuhi kriteria petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan dan tidak menolak untuk mengetepikan mereka yang gagal memenuhinya.

“Saya tidak mahu komen. Anda lihat sendiri senarai nama mereka yang berada dalam program itu dan pandai-pandailah fikir sendiri,” kata Karim.

Ballard dilantik menjadi Pengarah Teknikal ketika Datuk Zainal Abidin Ahmad menerajui KOM sebelum Karim mengambil alih jawatan presiden badan induk itu.

Perbalahan Karim dan Ballard bukan perkara baru dalam KOM susulan rasa tidak puas hati jurulatih tempatan dengan pendekatan digunakan pengendali dari Australia itu.

Malah kehadiran Ballard dalam KOM dikatakan turut gagal membantu meningkatkan sukan olahraga, sebaliknya pencapaian tiga emas pada temasya Sukan SEA Singapura lalu dianggap yang terburuk dalam sejarah temasya dwitahunan itu.

Karim sebelum ini turut menuntut mereka yang terbabit dengan KOM agar menjalankan tugas masing-masing terutama dalam mengotakan janji ‘agar setimpal dengan apa yang diterima’.

Dalam senarai dikeluarkan itu Karim hanya menyenaraikan Zainal Abas yang memegang tugas selaku ketua jurulatih, diikuti 11 jurulatih tempatan dan luar negara dengan nama Ballard diketepikan.

Karim turut mengumumkan 24 atlet lelaki dan 23 wanita disenaraikan dalam program Kita Juara, bagaimanapun tidak menafikan jumlah itu bakal bertambah berdasarkan prestasi terkini atlet cemerlang.

“Kita menyenaraikan mereka yang sudah mempunyai keputusan. Antara perkara utama dinilai adalah pencapaian pingat di Sukan SEA.

“Namun ingin saya tegaskan jumlah atlet akan bertambah dan mungkin juga berkurang kerana KOM tidak akan teragak-agak mengenepikan mereka yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 7:47 AM