KEADAAN Pandelela masih dipantau jurulatih.

Kuala Lumpur: Berita ratu terjun negara Pandelela Rinong kembali pulih daripada kecederaan menceriakan kem terjun negara yang mengambil bahagian di Kejohanan Terjun Grand Prix FINA Australia.

Sebelum ini Pandelela mengalami kecederaan belakang yang memaksanya menarik diri daripada Grand Prix Kuala Lumpur (KL) minggu lalu.

Keadaan terbaru Pandelela itu membolehkan Olahragawati Kebangsaan 2012 dan 2011 disenaraikan ketua jurulatih Yang Zhuliang bergandingan dengan Cheong Jun Hoong dalam acara 10m terjun seirama.

Bagaimanapun Zhuliang berkata, beliau tidak mahu mengambil risiko dan akan menyenaraikan Pandelela hanya untuk acara terjun seirama dan tidak individu.

“Pandelela hanya akan beraksi satu acara kerana kami mahu melihat sejauh mana tahap kesihatan dan kecederaannya terlebih dulu,” kata Zhuliang.

Sementara itu semalam menyaksikan ketiga-tiga wakil negara, Ahmad Amsyar Azman, Muhammad Syafiq Puteh dan Jun Hoong menempah tiket ke pusingan akhir yang akan berlangsung esok.

Syafiq dan Amsyar layak ke final acara 3m papan anjal individu manakala Jun Hoong 10m platform individu wanita

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 7:46 AM