MOURINHO panas baran.
Reuters

London: Memang sesuatu yang agak keterlaluan jika meragui masa depan Jose Mourinho ketika Liga Perdana Inggeris menyingkap tirainya Ogos lalu tetapi selepas 10 perlawanan, kedudukannya di Chelsea menjadi semakin tidak menentu terutama menjelang pertemuan menentang Liverpool, malam esok.

Selepas lima bulan merangkul gelaran juara Liga Perdana, Chelsea yang dibarisi ramai pemain berbakat sedang bergelut untuk mengelak daripada terjerumus ke zon penyingkiran apabila tewas lima kali.

Tumpuan pantas terarah kepada Mourinho apatah lagi sikap panas baran yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini didakwa menjadi punca kemerosotan prestasi anak buahnya.

Sebelum diarah duduk di tempat penonton ketika kekalahan 1-2 pasukannya di West Ham United minggu lalu, pengendali Portugis itu menghabiskan sebahagian besar awal musim ini dengan mencari musuh.

Bekas doktor pasukan, pengadil, FA Inggeris, pengurus Arsenal Arsene Wenger dan beberapa pemainnya sendiri pernah bergaduh dengan Mourinho.

Pengurus Chelsea itu bukanlah asing dengan kontroversi tetapi perselisihan faham yang terlalu kerap dengan badan induk bola sepak dikatakan mendorong keputusan buruk anak buahnya setiap kali beraksi.

Kecundang di tangan Stoke City pada kempen Piala Liga menerusi penentuan penalti bermakna mereka kini mengharungi perlawanan menentang Liverpool Sabtu ini dengan rekod dua kekalahan berturut-turut.

Pemerhati pula menjadikan Mourinho sebagai bahan paling hangat ketika ini dan menjangka beliau pasti disingkir dalam masa terdekat ini.

Penyokong pula membuat spekulasi pemilik kelab Roman Abramovich yang terkenal dengan ketegasannya dalam memilih jurulatih, tidak akan teragak-agak untuk menamatkan khidmat Mourinho di Stamford Bridge jika Liverpool mencetus satu lagi kekalahan buat juara bertahan itu.

Masalah Chelsea pasti berterusan jika penyerang Diego Costa tidak sempat pulih daripada kecederaan rusuk yang dialami ketika menentang Stoke tetapi Liverpool juga berdepan masalah serupa.

Christian Benteke tidak bermain ketika pasukannya menang 1-0 ke atas Bournemouth pada kempen Piala Liga dan Liverpool kini bergantung kepada Divock Origi sebagai satu-satunya penyerang yang cergas sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 7:42 AM