MOHAMED Asri (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MekongNet, Sok Channda.

Telekom Malaysia Bhd (TM) akan mengukuhkan lagi kedudukan serantaunya di Asia Tenggara menerusi kerjasama dengan penyedia Perkhidmatan Internet (ISP, MekongNet dan Penyedia Ibu Sawat Internet (IXP) utama di Kemboja.

Menerusi kerjasama itu, MekongNet akan menjadi hos dan menyediakan prasarana rangkaian bagi nod pelbagai perkhidmatan atau Point-of-Presence (POP) TM di Kemboja.

Naib Presiden TM Global & Wholesale Mohamed Asri Jaafar berkata, perkara itu akan membolehkan MekongNet menyediakan penyelesaian hubungan alternatif kepada pelanggannya serta menampung peningkatan permintaan bagi Internet jalur lebar antarabangsa di Kemboja, menerusi laluan pelbagai, menghubungkan ke POP lain TM di Kuala Lumpur dan Hong Kong.

“Kerjasama ini juga membolehkan MekongNet meluaskan capaian produk kepada pelanggannya di seluruh dunia menerusi operasi global TM.

“POP baru ini akan dapat menampung peningkatan permintaan bagi perkhidmatan Protokol Internet (IP) dari rantau Indochina yang ketika ini sedang mengalami pertumbuhan pesat ekonomi dan Internet jalur lebar,” katanya, semalam.

TM akan dapat menawarkan pelbagai perkhidmatan pada harga kompetitif, masuk dan keluar dari Kemboja melalui laluan pelbagai menerusi kabel laut dan daratan, menghubungkan kepada operasi rangkaian on-net sedia adanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 6:22 AM