TUMPAT, 29 Okt -- Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin, Mohd Nawi Yunus (kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada 2,290 karton rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai lebih RM200,000 yang dirampas di pengkalan haram Pulau Tengkorak, selepas sidang media di Jeti Polis Marin Pengkalan Kubor hari ini.--fotoBERNAMA (2015) HAK CIPTA TERPELIHARA

Tumpat: Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor merampas 2,290 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM226,800 dalam serbuan di pangkalan haram Pulau Tengkorak di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, ASP Mohd Nawi Yunus berkata beliau bersama empat anggotanya membuat serbuan di pangkalan haram itu pada jam 3.20 pagi semalam.

"Ketika tiba berhampiran lokasi serbuan, beberapa lelaki dilihat sedang memunggah sesuatu dari bot di tebing pangkalan dan sebaik menyedari kehadiran kami, mereka terjun ke dalam Sungai Golok.

“Ada yang melarikan diri ke Thailand dengan menggunakan perahu," katanya di PPM Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Mohd Nawi berkata hasil pemeriksaan terhadap bot ditinggalkan, polis menemui 45 kotak besar mengandungi pelbagai jenis rokok putih dipercayai di seludup dari negara jiran.

Beliau berkata siasatan awal mendapati semua suspek adalah warga asing yang melakukan aktiviti penyeludupan untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan.

"Mereka menggunakan bot kecil dan pangkalan haram itu kerana kawasannya yang agak gelap selain mempunyai hutan tebal agar mudah meloloskan diri dan mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata rampasan rokok seludup itu adalah yang pertama tahun ini dan langkah memperketat kawalan akan diteruskan bagi mengekang aktiviti berkenaan daripada berleluasa. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 5:12 PM