KANAK-KANAK pelarian Syria di kem Suruk, Turki.

Oslo: Negara jiran Syria - Lubnan Turki, Jordan dan Iraq - bertindak mengurangkan secara drastik kemasukan penduduk Syria ke negara mereka kerana tidak mampu lagi untuk menampung kemasukan lebih ramai pelarian negara itu.

Jumlah pelarian yang meninggalkan Syria kerana menyelamatkan diri dari perang saudara merosot kepada 88 peratus pada Oktober berbanding purata bulanan pada 2013, kepada 18,453 daripada 150,000 orang, kata Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa dan Majlis Pelarian Norway.

“Pertubuhan kemanusiaan sudah berulang kali memberi amaran bahawa kemampuan negara jiran berkenaan sudah menjangkau keupayaan mereka,” kata Setiausaha Agung Majlis Pelarian Norway, Jan Egeland.

Lebanon, Turki dan Jordan sudah menerima kemasukan lebih tiga juta pelarian Syria sejak konflik bermula pada 2011 sementara negara di luar rantau itu bersetuju menerima kira-kira 50,000 penduduk Syria, kurang dua peratus daripada jumlah keseluruhan pelarian.

Bulan lalu, Lubnan, antara negara paling ramai pelarian di dunia berkata, ia sudah tidak lagi berupaya menangani lebih sejuta penduduk Syria dan meminta bantuan untuk membantu menguruskan mereka.

Rasa tidak puas hati terhadap pelarian itu juga meningkat di negara terbabit kerana mereka didakwa menjadi punca kepada kekurangan pekerjaan, gaji lebih rendah, kesesakan di sekolah dan hospital dan paling teruk, pelarian itu juga dituduh menyebabkan kekurangan bekalan tenaga elektrik. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:04 AM