ICARDI (kanan) jaring gol tunggal Inter.

Roma: Inter Milan yang beraksi dengan 10 pemain, berjaya memintas AS Roma di persada Serie A untuk tempoh sekurang-kurangnya 24 jam selepas mengalahkan Bologna 1-0 di tempat lawan awal pagi semalam sekali gus menamatkan kemarau kemenangan dalam empat perlawanan.

Namun jurulatih Inter Roberto Mancini yang dilayangkan kad merah pada hujung permainan, menuntut anak buahnya supaya lebih garang.

Jaringan Mauro Icardi pada minit ke-67 memastikan kemenangan ke atas Bologna yang menduduki tangga tiga terbawah Serie A dan kejayaan itu bermakna Inter memintas AS Roma, Napoli dan Fiorentina di tangga teratas selepas 10 perlawanan walaupun bermain lebih satu berbanding pasukan lain.

Pemain Inter Felipe Melo dikenakan kad kuning kedua dalam tempoh sejam dan kad amaran kedua itu hadir tujuh minit selepas kad pertama tetapi pelawat beraksi agak hambar sekali gus mengundang kemarahan Mancini.

“Saya mahu lebih lagi terutamanya di babak pertama,” katanya. “Babak kedua pula berbeza sama sekali. Kami terlalu perlahan dan tidak banyak mencipta ruang.”

Ketiadaan Melo adalah yang ketiga buat Inter musim ini dan yang kedua dalam dua perlawanan selepas Jeison Murillo menerima nasib sama pada pertemuan menentang Palermo.

“Mungkin kami bermain lebih baik dengan 10 orang,” kata Mancini. “Babak pertama amat perlahan dan Bologna menguasai manakala kami tidak dapat membuat hantaran menerusi sayap. Penyerang pula berada terlalu jauh.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 9:42 AM