Twickenham, England: Nigel Owens bakal dibantu dua ‘penolong pengadil paling hebat’ - Richie McCaw dan Stephen Moore (gambar) bagi memastikan aksi final ragbi Piala Dunia, Sabtu ini berjalan lancar.

Permusuhan antara kapten New Zealand dan Australia itu sudah diketahui umum dan masing-masing bijak memainkan peranan mempengaruhi pengadil dalam setiap perlawanan.

McCaw dan Moore akan terbabit dalam perlawanan itu dari sudut berbeza - McCaw dari tepi scrum manakala Moore akan menumpukan perhatian ke tengah dan depan padang - tetapi mereka sentiasa ada untuk memperjuangkan pasukan masing-masing bila berdepan pengadil.

McCaw sudah menjalani latihan secukupnya dan dia sedia mengetuai pasukannya buat kali ke-111 sepanjang 148 karier Test.

Dia menjadi kapten lebih 100 Test berbanding Moore yang hanya belajar menjadi kapten ragbi dalam liga Super. Dia pernah membuktikan kebolehannya dengan meneraju Wallabies menewaskan All Blacks, Ogos lalu dan dianggap setanding dengan McCaw.

Moore juga dikenali sebagai “Squeak” tetapi dia akan memastikan setiap anak buahnya mampu mendengar arahannya.

Ketika McCaw mengadu kepada pengadil Wayne Barnes mengenai kekasaran yang dilakukan Israel Folau, Moore yang baru menjadi kapten buat kali keempat, pantas menghampiri pegawai perlawanan itu untuk mempertahankan anak buahnya.

“Perkara sama kerap berlaku ke atas pasukan kami,” katanya.

Ketika McCaw membuat isyarat supaya membiarkan pengadil membuat keputusan, Moore membalas dengan ayat: “Anda tidak boleh membuat ancaman sebegitu di sini.”

Sikapnya itu membuatkan Wallabies bertambah yakin dan percaya mereka mempunyai kapten yang boleh mengemudi pasukan dengan baik. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 9:37 AM