ABU Samah (empat dari kiri) menerima cenderahati daripada Musairi di Dewan Komanwel MSN.
Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Tugas mencabar buat penganjur baru Jelajah Malaysia 2015 (JM 2015), Peloton Resources bagi memastikan peruntukan kewangan mencukupi untuk memastikan perlumbaan tertua di Malaysia itu berjalan lancar.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Wahab menjelaskan berbaki kira-kira lima minggu sebelum berlangsungnya perlumbaan, pihak penganjur dikhabarkan masih berusaha mendapat penajaan.

“Menurut maklumat yang saya peroleh, mereka belum mendapat penajaan mencukupi. Saya berharap mereka berjaya menyelesaikannya dengan dua atau tiga penaja yang masih berminat supaya perlumbaan ini tidak gagal kerana ia turut menyumbang mata buat pelumba negara untuk ke Olimpik Rio,” katanya.

Peloton Resources yang diketuai bekas pelumba negara Musairi Musa sebagai Ketua Pegawai Eksekutif diberikan hak penganjuran selama tiga tahun bermula tahun ini.

“Semasa PKBM menganjurkan JM pada edisi lalu, kami mendapat peruntukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebanyak RM1 juta. Namun, kali ini KBS tidak dapat membantu kerana peruntukan mereka sudah habis,” jelasnya.

Abu Samah berkata kebiasaannya penganjuran JM akan membabitkan kos sekurang-kurangnya RM1.2 juta.

Sementara itu, Musairi mengesahkan edisi ke-51 perlumbaan tertua di Malaysia itu akan berlangsung dari 9 hingga 13 Disember membabitkan lima peringkat perlumbaan dengan 20 pasukan.

Enam pasukan tempatan terpilih untuk bersaing diketuai Terengganu Cycling Team (TSG), Majlis Sukan Negara (MSN), skuad kebangsaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 9:25 AM