Riyadh: Sebuah mahkamah di sini membuat keputusan memihak kepada seorang gadis berusia 17 tahun yang enggan berkahwin dengan lelaki tua berumur 90 tahun.

Gadis berkenaan mengambil tindakan undang-undang untuk membatalkan perkahwinannya selepas mendapati bakal suaminya itu bukan lelaki yang ditunjukkan oleh bapanya sebelum ini.

Menurut dokumen mahkamah, kejadian itu terbongkar selepas polis di Jazan menyiasat rayuan seorang gadis supaya menyelamatkannya selepas bapanya mendesak dia berkahwin dengan seorang lelaki tua yang menetap di Madinah.

Menurut gadis itu, bapanya sebelum itu memberitahunya seorang pemuda kacak berusia 20-an mahu berkahwin dengannya.

Dia kemudian membawa pemuda itu pulang dan gadis berkenaan menerima lamarannya.

Tetapi apabila mengisi borang perkahwinan, gadis itu mendapati tarikh lahir lelaki itu menunjukkan dia berusia 90-an, lapor laman berita Internet Saudi, Sabq.

Dia kemudian mendapati bapanya memang merancang mengahwinkannya dengan lelaki tua itu dan pemuda yang dibawa pulang ke rumahnya tempoh hari turut bersekongkol untuk memperdayakannya.

Gadis itu menetap bersama bapanya selepas ibu bapanya bercerai.

Dia memberitahu polis, dia tidak bersetuju dengan perkahwinan itu dan memilih untuk melarikan diri dari rumah serta meminta bantuan guaman selepas bapanya membeli tiket untuknya ke Madinah dan tinggal bersama suaminya.

Kes itu kemudian dibawa ke mahkamah kelmarin dan mahkamah mengisytiharkan perkahwinan berkenaan batal.

Pengguna media sosial mengecam si bapa dengan mendakwa dia menjual anaknya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:03 AM