MOHD Shafie (dua dari kanan) memotong reben sambil diperhatikan Eu (kanan) simbolik perasmian taman hiburan terbaru 'Itsy Bitsy'.

Shah Alam: I-Berhad menjangkakan untuk meneroka lokasi di luar Lembah Klang menjelang tempoh lima tahun lagi bagi mengembangkan portfolio pembangunan bersepadu yang turut merangkumi taman tema.

Naib Pengerusinya, Datuk Eu Hong Chew berkata, buat masa ini pihaknya belum mengenal pasti lokasi sebenar yang akan dibangunkan, namun yakin ia meliputi lokasi di luar bandar.

“Apa yang lebih utama adalah kami akan memilih lokasi yang memerlukan pembangunan katalis selain lokasi yang mampu menyediakan tanah yang luas untuk menampung pembangunan jangka panjang,” katanya selepas pelancaran tarikan terbaru oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di taman tema i-City iaitu Itsy Bitsy @ i-City di sini, semalam.

Menurutnya, dalam tempoh 10 tahun, pihaknya berjaya mengubah landskap i-City Shah Alam kepada kawasan tarikan pelancong dan perancangan berkenaan akan sampai ke kemuncak sehingga penghujung 2018.

“Kami berfikir mengenai perancangan yang perlu dilakukan selepas projek pembangunan di i-City Shah Alam dan mula merancang untuk meneroka kawasan lain.

“Kerana itu, kami bercadang untuk ke lokasi di luar Lembah Klang sebagai perancangan jangka panjang selepas berjaya membangunkan i-City Shah Alam,” katanya.

Sehingga kini, i-City melabur sehingga RM70 juta bagi memperkenalkan pelbagai tarikan untuk taman temanya. Ia dijangka membuat pelaburan tambahan sebanyak RM30 juta untuk tujuan sama sehingga 2018. Dalam pada itu, pelancaran Itsy Bitsy @ i-City dijangka melonjakkan jumlah pengunjung kepada 90,000 setiap minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:03 AM