SEORANG wanita memantau anaknya yang dirawat di hospital di Palangkaraya akibat masalah pernafasan.
AFP

Jakarta: Jumlah kematian akibat jerebu yang melanda sebahagian Indonesia melonjak kepada 19 orang, meningkat hampir dua kali ganda berbanding angka yang dikeluarkan sebelum ini.

Hampir dua bulan Indonesia dan beberapa negara jirannya dilanda krisis jerebu akibat kebakaran hutan yang menyebabkan sekolah ditutup dan penerbangan tergendala.

Dianggarkan lebih setengah juta penduduk di Indonesia disahkan menghidap penyakit berkaitan pernafasan sejak jerebu melanda Julai lalu.

Agensi bencana Indonesia sebelum ini memberitahu kebakaran itu menyebabkan 10 orang maut ketika operasi memadamkan api dan sebahagian lagi akibat pencemaran udara.

Bagaimanapun, Menteri Sosial Indonesia, Khofifah Indar Parawansa semalam mengesahkan bahawa angka kematian lebih tinggi.

“Sehingga pagi ini (semalam) 19 orang disahkan mati akibat jerebu ini,” katanya.

Menurutnya, semua mangsa adalah dari Sumatera dan Kalimantan, lokasi kebakaran hutan yang berpunca daripada aktiviti pembersihan tanah untuk pertanian.

Menteri Keselamatan Indonesia, Luhut Panjaitan mengakui agensi kaji cuaca gagal meramalkan fenomena El Nino pada tahun ini mungkin lebih buruk berbanding 1997.

Tahun ini mencatatkan rekod jerebu paling buruk dan kebakaran hutan yang gagal dikawal menyebabkan bencana alam sekitar.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) merancang melawat kawasan yang terjejas akibat jerebu minggu ini selepas memendekkan lawatannya ke Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 6:38 AM