GAMBAR yang dirakam kelmarin menunjukkan keadaan jerebu yang menyelubungi Palangkaraya.

Palangkaraya: Hujan di Palangkaraya kelmarin tidak mampu mengurangkan jerebu tebal yang menyelubungi bandar ini sejak dua bulan lalu.

Selepas hujan berhenti jerebu tebal dilihat masih kekal, malah semakin buruk apabila jarak penglihatan dicatatkan sekitar 50 hingga 100 meter sahaja.

Pegawai kaji cuaca di lapangan terbang Tjilik Riwut, Anton memberitahu, hujan dijangka melanda selama beberapa hari lagi di bandar itu.

“Bagaimanapun, kami tidak dapat memastikan hujan ini boleh menyebabkan jerebu hilang atau tidak,” katanya.

Wartawan Tempo melaporkan, hujan sederhana turun lebat di bandar ini pada malam Isnin lalu.

Namun, pada pagi keesokkan harinya jerebu tidak berkurangan, malah semakin tebal.

“Penduduk terpaksa memakai topeng muka ketika keluar rumah dan menyalakan lampu kenderaan,” lapor akhbar itu.

Seorang pegawai tentera, Purwo Sudaryanto yang menyelia operasi memadam kebakaran hutan di Palangkaraya memberitahu, hujan berkenaan tidak mampu memadamkan api.

“Hujan bukan sahaja tidak memadamkan api, tetapi menyebabkan jerebu bertambah tebal.

“Hujan di tanah gambut yang terbakar mengeluarkan asap yang banyak sekali gus memburukkan keadaan jerebu,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 6:38 AM