PENUNJUK perasaan membawa bendera Palestin ketika melakukan demonstrasi anti-Israel berhampiran sempadan Israel dengan selatan Semenanjung Gaza, semalam.
Agensi

London: Ratusan ahli akademik Britain semalam berkata, mereka akan memulaukan universiti di Israel kerana membantah kekejaman rejim Zionis terhadap kemanusiaan di Palestin.

Pengumumkan itu dibuat menerusi iklan satu muka penuh di akhbar The Guardian berjudul ‘Komitmen oleh cendekiawan UK terhadap hak rakyat Palestin.

Ahli akademik seramai 343 orang dari 72 institusi berkenaan, termasuk Oxford, Cambridge dan Sekolah Ekonomi London berkata, mereka bagaimanapun akan teruskan kerjasama dengan rakan sejawatan di Israel, tetapi berdasarkan individu.

“Kami terganggu dengan pendudukan haram Israel di bumi Palestin dan pencabulan teruk terhadap hak asasi manusia ke atas semua warga Palestin,” menurut iklan berkenaan.

Mereka juga memutuskan untuk tidak melayani semua pelawaan melawat institusi akademi Israel, menyertai persidangan yang dibiayai, dianjur atau ditaja oleh institusi terbabit.

“Ini bermakna kita tidak akan mengadakan kerjasama dengan mereka. Kami akan mengekalkan pendirian ini sehingga rejim Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan menghormati prinsip hak asasi universal,” kata ahli akademik itu menerusi iklan berkenaan.

Jurucakap kumpulan itu Jonathan Rosenhead dari Sekolah Ekonomi London berkata, universiti di Israel menjadi pusat pencabulan undang-undang antarabangsa dan penindasan rakyat Palestin.

Kumpulan itu berkata, Institut Teknologi Israel atau Technion mencipta teknologi khas mengesan terowong di Semenanjung Gaza dan jentolak tanpa pemandu untuk merobohkan kediaman penduduk Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 6:28 AM