Pelbagai barangan dipercayai dicuri yang ditemui. FOTO ihsan PDRM
Oleh Mohd Hasbi Sidek
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian memecah masuk sebuah premis di Seksyen 15, Shah Alam pada 21 Oktober lalu ditahan kira-kira jam 4 pagi Isnin lalu di seksyen sama.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, pengadu mendapati tempat kerjanya dalam keadaan berselerak dan ada barang hilang disyaki dicuri.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, bertindak atas maklumat, kira-kira 4 pagi Isnin lalu pasukan khas ternampak suspek dalam keadaan mencurigakan di Seksyen 15.

"Suspek sedang masuk ke dalam kereta dan apabila kami menghampirinya, suspek berusia 29 tahun itu cuba melarikan sebelum berjaya ditahan.

"Pemeriksaan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau dan kita turut menemui pelbagai barangan dipercayai dicuri dan alatan pecah rumah dalam kenderaan terbabit," katanya, di sini, petang tadi.

Beliau berkata, suspek direman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 6:49 PM