Oleh Norul Awatif Romli

awatifromli@hmetro.com.my

 

Sungai Petani: Sebahagian peruntukan membabitkan aspek kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibentang menerusi Bajet 2016 baru-baru ini akan dimanfaat bagi memperkasa skim bantuan kepada veteran tentera termasuk wira-wira pertempuran Pasar Bakara, Somalia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, bantuan berkenaan termasuk bantuan sara hidup, persekolahan, kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), peralatan pesakit dan bencana, mengurus jenazah veteran ATM tidak berpencen serta pembayaran ex-gratia.

Katanya, hingga kini kerajaan membelanjakan RM46.33 juta bagi bantuan perubatan kepada 9,999 veteran, manakala RM23.14 juta untuk skim sara hidup, bantuan persekolahan dan pengajian tinggi, peralatan pesakit serta bantuan bencana kepada 11,975 veteren di seluruh negara.

"Kebajikan ahli anggota dan veteran akan menjadi sebahagian daripada keutamaan kita.

"Kita tetap akan mencari jalan untuk pembelaan sewajarnya kepada veteran ATM dan wira-wira negara yang banyak berjasa selama ini... ini adalah jaminan saya," katanya ketika berucap pada Majlis Mengenang Jasa Wira-wira Pertempuran Pasar Bakara, Somalia di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, di sini, hari ini.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Seri Abdul Rahim Mohd Radzi; Ketua Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid dan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali.

Katanya, pihaknya juga akan memperluas Skim Bantuan Pengajian Tinggi kepada anak-anak veteran tentera yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di Kolej Vokasional Kebangsaan bermula tahun depan.

"Tambahan kewangan bagi tujuan ini berjumlah sekitar RM250,000 setahun membabitkan kira-kira 250 anak veteran iaitu bantuan sebanyak RM1,000 seorang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 4:13 PM
PESEMBAHAN lakonan semula pertempuran Pasar Bakara. FOTO Mikail Ong