Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Ia mungkin dianggap biasa bagi sesetengah ibu bapa. Namun, tahukah anda cirit-birit penyakit yang kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak selain demam dan selesema?

Pakar runding pediatrik Pusat Perubatan Tropicana, Dr Ling Shih Gang berkata, 99 peratus cirit-birit berlaku disebabkan jangkitan kuman atau virus.

Virus pembawa jangkitan yang biasa dalam kalangan kanak-kanak ialah rotavirus. Makanan atau air yang tercemar boleh menyebarkan jangkitan pada usus dan akhirnya menyebabkan cirit-birit.

Penyebaran jangkitan biasanya berlaku daripada makanan, air atau benda tercemar kepada individu. Bukan itu saja, jangkitan juga boleh disebarkan melalui seorang individu kepada individu lain.

Selain disebabkan jangkitan virus, bakteria ataupun parasit, terdapat beberapa sebab lain yang menyebabkan ciri-birit, namun ia jarang berlaku dan hanya satu peratus daripada jumlah pesakit.

Cirit-birit juga boleh berlaku disebabkan alahan kepada ubatan atau antibiotik dan juga susu formula yang mengandungi laktosa.

Masalah itu juga boleh berlaku disebabkan penyakit berkaitan usus seperti radang, ‘coeliac’ iaitu apabila badan kurang toleransi terhadap gluten atau sindrom iritasi usus.

Ibu bapa boleh mengesan si kecil mendapat cirit-birit jika kekerapan membuang air besar lebih daripada biasa (lebih daripada empat hingga lima kali sehari) dan tekstur najis yang cair.

Pada masa sama, si kecil juga mengalami demam, muntah, sakit atau kejang perut, kembung perut dan hilang selera makan. Ketika cirit-birit berlaku, kanak-kanak mungkin kelihatan normal atau ada tanda dehidrasi.

Bahaya cirit-birit

Jika cirit-birit berlaku lebih daripada dua minggu, ia mungkin petanda kepada penyakit lain yang menyerang si kecil. Kebiasaannya, cirit-birit yang dirawat hanya berlangsung selama dua hingga lima hari jika ia disebabkan jangkitan kuman.

Cirit-birit yang berlaku kepada kanak-kanak perlu dirawat dengan segera jika terdapat jangkitan kuman kerana ia boleh merebak ke bahagian badan yang lain.

Ini kerana jika mendapat jangkitan kuman yang kuat dan tidak mudah diubati ia boleh menyebabkan jangkitan pada darah, namun ia jarang berlaku.

Cirit-birit boleh bertukar kepada bahaya apabila kanak-kanak mengalami dehidrasi. Risiko kanak-kanak mengalami dehidrasi lebih tinggi jika cirit-birit yang dihadapi bergabung bersama demam dan muntah.

Kekurangan air dalam badan boleh mengganggu sistem peredaran darah. Dapatkan rawatan segera sekiranya anak menunjukkan tanda dehidrasi, darah pada najis atau najis berwarna kehitaman dan cirit-birit yang berterusan hingga melebihi 48 jam.

Selain itu, susut berat badan, keadaan mengantuk atau kelalian, demam melebihi 38 darjah Celsius dan enggan makan juga petanda si kecil perlu dibawa berjumpa doktor.

Terdapat kesan komplikasi yang teruk boleh berlaku kepada kanak-kanak jika ia dibiarkan tanpa sebarang rawatan. Antaranya, organ badan tidak berfungsi termasuk kegagalan ginjal, jangkitan sistemik yang membabitkan keseluruhan badan, kurang toleransi terhadap laktosa peringkat sekunder, rasa sakit di sekeliling kawasan dubur dan kematian.

1. Antara tanda dehidrasi ringan dan sederhana:

- Mulut dan lidah kering.

- Bibir merekah.

- Tiada atau hanya sedikit saja air mata jika menangis.

- Tidak kencing selama empat hingga enam jam (lampin tidak basah dalam tempoh berkenaan)?

- Ubun-ubun kepala bayi tenggelam.

- Meragam.

2. Dihidrasi teruk:

Terdapat semua tanda di atas, diikuti dengan:

- Kulit kering dan berkedut.

- Kanak-kanak kelihatan tidak bermaya, sangat letih dan tidak aktif.

- Mata cengkung.

- Sukar bernafas.

- Nadi yang lemah dan sangat cepat.

- Tangan dan kaki sangat sejuk.

- Enggan makan.

Rawatan cirit-birit

Jika si kecil mengalami cirit-birit pastikan ia dibawa berjuma doktor untuk melakukan pemeriksaan. Pada masa sama, ibu bapa juga perlu memantau anak mereka setiap masa bagi memastikan si kecil minum dengan kadar mencukupi.

Sangat penting untuk menggantikan air dan mineral dalam badan yang hilang untuk mencegah dehidrasi. Teruskan penyusuan susu ibu di samping memberi minum air garam rehidrasi (oral rehydration salt - ORS).

Sekiranya bayi tidak menyusu badan, teruskan memberi bayi makanan biasa dan minum air garam rehidrasi. Gunakan sudu atau picagari kecil untuk memberi ORS sebanyak yang mungkin dan biasanya tidak melebihi jumlah yang anak anda boleh minum.

Jika si kecil menunjukkan tanda dehidrasi, gejala yang bahaya atau ibu bapa tidak pasti kaedah yang perlu dibuat, segera berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.

Cirit-birit boleh dicegah daripada kanak-kanak melalui cara berkenaan:

- Pastikan air minuman anak bersih dan dimasak.

- Pastikan anak gunakan alatan yang bersih untuk makanan dan minuman.

- Bagi kanak-kanak yang menggunakan botol untuk menyusu, pastikan botol bayi disterilkan.

- Elak makanan mentah kecuali disediakan sendiri dengan bersih.

- Cuci tangan dengan bersih selepas menyediakan makanan mentah seperti daging, menggunakan tandas, menukar lampin dan sebelum memegang makanan.

- Buang lampin pakai buang dengan betul.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 10:58 AM