DARI kiri Dr Norimah, Jo-Anne, Aaron dan Diyana pada majlis pelancaran kempen berkenaan.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Susu antara sumber nutrisi yang penting untuk seisi keluarga. Susu membantu kanak-kanak dalam tumbesaran dan perkembangannya selain memperkukuhkan tulang serta otot untuk golongan dewasa.

Namun, berapa ramai yang suka menikmati susu setiap hari terutama orang dewasa? Rasanya yang agak tawar menyebabkan tidak ramai mahu menjadikannya sebagai minuman rutin setiap pagi dan malam.

Ini terbukti dalam kajian Nutrisi Orang Dewasa Malaysia (MANS) 2003 yang melaporkan rakyat Malaysia hanya mengambil 0.14 sajian susu dan produk tenusu setiap hari.

Ia bersamaan dengan segelas kecil seminggu berbanding Garis Panduan Diet Malaysia yang mencadangkan pengambilan satu hingga tiga sajian sehari.

Merujuk kepada penemuan Kaji selidik Nutrisi Asia Tenggara (SEANUTS), hampir separuh daripada kanak-kanak yang dikaji mengalami kekurangan vitamin D dan satu daripada 20 orang mengalami masalah kekurangan nutrisi.

Setiausaha Kehormat Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) dan Ketua Program Pemakanan Pusat Pengajian Sains Jagaan Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Dr Norimah Karim berkata, bagi mengatasi masalah berkenaan, penting untuk mereka minum dua sajian susu sehari.

“Ia bagi memastikan kanak-kanak yang mempunyai masalah berkenaan mendapat nutrisi penting secara harian yang diperlukan untuk proses tumbesaran berjalan lancar.

“Susu minuman yang berkhasiat dan sesuai dinikmati seisi keluarga. Ia boleh diminum dalam pelbagai bentuk sedia ada dan boleh dinikmati dengan segera bersama makanan atau minuman lain.

“Justeru, tidak ada alasan untuk mengelak minum susu bagi mendapatkan nutrisi diperlukan badan tidak kira kanak-kanak mahupun golongan dewasa.

Ujarnya, vitamin D juga sangat penting untuk golongan dewasa dan juga kanak-kanak kerana ia membantu menyerap kalsium dalam badan kita.

Tanpa tahap vitamin D yang mencukupi, kalsium yang diperoleh daripada diet tidak dapat diserap dengan sebaiknya. Dalam kes yang serius, kekurangan vitamin D boleh menyebabkan penyakit riket, iaitu keadaan tisu tulang yang tidak berupaya memineralkan tulang.

Ia sekali gus akan mengakibatkan tulang menjadi lembut dan kecacatan rangka tulang boleh berlaku. Bagi menangani masalah kekurangan vitamin D, kanak-kanak seharusnya menghabiskan lebih banyak masa di luar rumah.

“Aktiviti di luar rumah membolehkan badan menghasilkan vitamin D secara semula jadi. Selain itu, ibu bapa juga perlu menitikberatkan pengambilan makanan anak untuk memastikan mereka mendapat vitamin D yang mencukupi.

“Memandangkan vitamin D larut dalam lemak, kita hanya memperolehnya daripada ikan seperti ikan kembung, sardin dan salmon selain kuning telur serta susu,” katanya.

Bagi ibu bapa yang ingin memberikan susu yang diperkaya dengan vitamin D kepada anak, sebaiknya baca label nutrisi untuk mendapatkan maklumat tertentu terlebih dulu.

Ini kerana menurut saranan pengambilan nutrisi (RNI) yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan, badan hanya memerlukan kira-kira lima mikrogram vitamin D sehari.

Justeru, dia menyarankan ibu bapa untuk memastikan susu yang dipilih tinggi dengan tahap kandungan vitamin D yang sepatutnya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran untuk Dutch Lady Malaysia Jo-Anne Jayasiri menegaskan bahawa susu sumber nutrisi penting bukan saja untuk kanak-kanak malah orang dewasa juga perlu menikmatinya.

“Namun, berdasarkan kajian MANS, rakyat di negara ini tidak minum susu yang mencukupi setiap hari. Sebagai pengeluar susu utama di Malaysia, ini adalah tanggungjawab kami untuk memberi sumbangan dalam pemakanan yang sihat dalam kalangan masyarakat dan membantu mereka membina keluarga yang sihat.

“Justeru, kempen ‘Dua Susu Sehari. Hadiah Terbaik untuk Keluarga Anda’ usaha kami untuk mewawarkan dan menggalakkan rakyat Malaysia supaya minum susu berdasarkan jumlah sajian yang dicadangkan dalam Garis Panduan Diet Malaysia demi memperoleh kebaikan nutrisinya,” katanya.

Jo-Anne turut berbesar hati mengumumkan bahawa jenama berkenaan bekerjasama dengan NSM serta selebriti terkenal, Aaron Aziz dan keluarganya untuk menyampaikan mesej mengenai kebaikan susu dalam diet harian kepada seluruh rakyat Malaysia.

Hadir sama pada majlis pelancaran kempen berkenaan, Pakar Pemakanan Korporat Dutch Lady, Loo Mei Fong dan isteri Aaron, Diyana Halik.

Ujarnya, pengetahuan dan bimbingan disalurkan kepada setiap keluarga melalui media dan pameran bergerak yang akan diadakan.

Malah, orang awam juga boleh mendapatkan nasihat daripada pakar pemakanan yang bertauliah mengenai cara kreatif menggabungkan dua sajian susu setiap hari sebagai sebahagian daripada diet yang seimbang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 10:46 AM