MOHD Akmal (dua dari kanan) diasak pemain Terengganu.
Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my


Johor Bahru: Misi Johor Darul Ta’zim II (JDT II) untuk mencatat kemenangan tidak kesampaian selepas tewas tipis 1-2 kepada Terengganu pada aksi Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam tadi.

Kini saingan kembali terbuka dalam kumpulan itu dengan LionsXII masih unggul di tangga teratas selepas mengumpul 10 mata manakala Kedah dan Terengganu terikat tujuh mata dan hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan. Aksi terakhir pada 4 November ini menjadi penentu dua pasukan yang akan layak ke suku akhir piala berprestij itu.

Tanpa berlengah, pelawat mencipta kejutan ke atas tuan rumah seawal minit ke-8 hasil kesilapan Nicolas Delmonte yang cuba mengumpan bola ke belakang yang menyaksikan Issey Nakajima Farran pantas merampas bola dan menggelecek penjaga gol, K Sasikumar sebelum menolak ke gawang terbuka luas.

Kelibat Mohd Sharbinee Allawe Ramli tampak sukar ditembusi tuan rumah biarpun memiliki peluang terhidang pada minit ke-28 apabila Mohd Akram Mahinan merembat bola namun dihalang penjaga gol pelawat itu.

Namun, kekebalan Sharbinee akhirnya tertewas jua pada minit ke-34 selepas bola sepakan sudut Mohd Fandi Othman ditanduk Baihakki Khaizan sebelum disudahkan kapten Shahril Ishak apabila tandukannya menerjah jaring.

Sebaik babak kedua bermula, Zaquan Adha Abd Radzak hampir meletak tuan rumah di depan pada minit ke-46, namun rembatan derasnya dalam kotak penalti sempat ditepis keluar Sharbinee.

Skuad kendalian Nenad Bacina tampak begitu ghairah mengasak ke kubu pelawat dengan Mohd Akmal Ishak yang bertindak secara solo hampir mencipta jaringan pada minit ke-54 namun rembatan leretnya sempat ditepis keluar.

Ismail Faruqi akhirnya muncul wira Terengganu selepas menanduk bola muntah yang gagal ditangkap kemas Sasikumar, berpunca daripada sepakan percuma Lopez pada minit ke-86 untuk memastikan kemenangan buat skuad kendalian Ahmad Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 10:08 AM