AHMAD Husni
Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan melihat lebih banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu dijalankan agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Bumiputera bagi membolehkan syarikat mereka berdaya saing di peringkat tempatan dan global.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pada masa ini, tidak begitu banyak kajian mengenai pasaran dijalankan syarikat Bumiputera menyebabkan mereka gagal meneroka potensi pasaran untuk produk masing-masing.

Menurutnya, keusahawanan bukan saja setakat menarik pelanggan, tetapi membabitkan soal menguasai pasaran.

“Syarikat Bumiputera perlu mengambil kesempatan melalui kemudahan disediakan kerajaan untuk meneroka dan meluaskan pasaran,” katanya pada lawatan ke Menara Perbadanan Nasional Berhad (PNS), di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Hamzah Zainuddin serta Pengerusi PNS Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee bersama lebih 200 warga kerja PNS.

Beliau berkata, usahawan Bumiputera kini mencatat kejayaan dan berupaya menerokai pasaran serta menjana pendapatan lumayan.

Sebagai contoh, terdapat lebih 30 peratus penyertaan syarikat Bumiputera di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

“Kerajaan menyediakan pelbagai insentif membabitkan latihan, pendidikan dan dana yang perlu direbut usahawan Bumiputera untuk meningkatkan daya saing syarikat, sekali gus meningkatkan penguasaan ekonomi Bumiputera pada masa depan,” katanya.

Husni berkata, peranan agensi kerajaan seperti PNS penting sebagai agensi yang memacu pertumbuhan syarikat Bumiputera di negara ini.

“PNS memainkan peranan besar dan mewujudkan ramai usahawan Bumiputera mempelopori bidang francais di negara ini.

“Kejayaan itu menjadi lonjakan kepada usahawan Bumiputera khususnya kaum Melayu pada hari ini untuk berdaya saing dan setanding dengan kaum lain,” katanya.

Menteri Kewangan Dua itu meminta usahawan Bumiputera mengambil peluang mengadakan lebih banyak hubungan dengan usahawan berjaya dan menimba ilmu daripada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 6:31 AM