Jenazah Tengku Nur Najihah Tengku Marzuki, 18, yang meninggal dunia ketika hendak menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pagi tadi. - Foto BSTP

Kuantan: Seorang pelajar Kulliah Al Lughah Waddin As Sultan Abu Bakar, Pekan yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) meninggal dunia secara mengejut pagi tadi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang Datuk Mohamad Noor Abdul Rani berkata dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi tadi, Tengku Nur Najihah Tengku Marzuki, 18, dilaporkan sedang menunggu untuk mengambil peperiksaan untuk kertas Arudh apabila tiba-tiba rebah dan meninggal dunia.

"Arwah ketika itu dilaporkan sedang belajar di surau sekolah sementara menanti untuk menduduki peperiksaan kertas berkenaan pada hari terakhir peperiksaan STAM hari ini.

"Bagaimanapun, beliau dilaporkan tiba-tiba rebah dan rakan-rakannya memaklumkan kepada pihak sekolah sebelum ambulans dihubungi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, Tengku Nur Najihah bagaimanapun disahkan meninggal dunia dan jenazahnya dibawa ke Hospital Daerah Pekan untuk bedah siasat.

Beliau berkata, jenazah mangsa kemudian dituntut keluarga kira- kira 3 petang tadi untuk dikebumikan di Kampung Balok di sini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 11:13 PM