PELBAGAI khidmat rawatan kecantikan boleh dilakukan di rumah pelanggan.
SALUN bergerak mudahkan pelanggan.
Abd Ghani

Usah melihat perniagaan salun kecantikan bergerak sebagai satu pekerjaan mudah dan menjimatkan, tetapi pandanglah menggunakan mata hati. Ia ternyata penuh dengan cabaran terutama dari segi ketetapan masa, kekentalan mental dan fizikal, disiplin dan saat mendepani kerenah pelanggan.

Bukan semua wanita mampu melakukan pekerjaan itu kerana tanpa minat dan kesungguhan yang lahir dari hati yang ikhlas, usahkan mahu mengendalikan salun bergerak, untuk membuka salun kecantikan kekal juga pasti penuh dengan alasan.

Ramai yang menyatakan kerjaya sebagai pengusaha salun kecantikan memerlukan modal besar, premis perniagaan gah dengan dekorasi dalaman yang moden serta peralatan canggih bagi menarik perhatian pelanggan.

Bermodalkan puluhan atau ratusan ribu ringgit untuk menjalankan perniagaan salun kecantikan kekal bukan jaminan pulangannya juga besar.

Bagi yang bijak merebut peluang perniagaan dalam apa juga keadaan selain menggunakan modal kecil ketika ini dilihat sebagai satu langkah tepat kerana ia sebenarnya mampu dikembangkan mengikut acuan ekonomi negara.

Begitu halnya dengan kecekalan hati wanita berusia 21 tahun yang pantas mengejar waktu menjadi usahawan bergerak salun kecantikan kerana ia bukan saja memberi kebebasan dari segi masa, pergerakan dan juga modal yang kecil, tetapi berjaya mengikat pelanggan menerusi perkhidmatan yang ditawarkan.

Pemilik nama Nur Hamimifatin Abdul Hamid ternyata tidak gentar mendepani cabaran memulakan kerjaya sebagai pengusaha salun bergerak dengan menawarkan khidmat rawatan muka dan dandanan rambut bermodalkan hasil simpanan sendiri sebanyak RM3,000 saja.

Jatuh bangun dalam dunia perniagaan lumrah kehidupan dan baginya, tiada orang yang berniaga tidak mengalami situasi itu.

“Ada orang bernasib baik, berniaga terus untung besar, tetapi tidak mustahil akan tenggelam dalam dunia mereka tanpa ‘audit’ dari segi fizikal dan mental serta berjuang untuk mencari keuntungan yang diberkati dan halal di sisi Islam.

“Biarlah saya lambat, tetapi selamat dan saya yakin perniagaan yang dilakukan ini akan terus kekal dan meningkat dari semasa ke semasa,” katanya ditemui ketika membuat rawatan muka di rumah pelanggan di Taman Peramu Baru, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, bukan mudah mendapat kepercayaan orang tambahan pula memberi perkhidmatan salun bergerak yang semakin mendapat perhatian terutama dalam kalangan suri rumah.

“Sama ada kita tidak amanah atau pelanggan yang tak jujur, semua perlu diberi pertimbangan, tetapi alhamdulillah setakat ini saya belum memungkiri janji temu yang dibuat,” katanya yang menetap di Batu 3, Jalan Gambang, Kuantan, Pahang.

Berdepan cabaran ditipu pelanggan menjadikan Nur Hamimifatin yang mesra dengan panggilan Mimi lebih berhati-hati menerima permintaan daripada individu yang memintanya melakukan rawatan di rumah.

“Saya pernah dihubungi individu yang ingin mendapatkan rawatan, tetapi selepas mencari kediaman yang dinyatakan, ternyata alamat diberikan palsu malah tiada pun rumah di situ. Apabila saya membuat panggilan semula, talian sudah tidak digunakan.

“Saya terima perbuatan individu tidak bertanggungjawab itu sebagai cabaran dalam bisnes ini,” katanya tanpa ada nada kesal di hatinya.

Bagi Mimi, idea untuk mengetengahkan perkhidmatan salun bergerak tercetus selepas seorang pelanggan memintanya ke rumah untuk menggunting rambut ibunya yang mengalami masalah kesihatan yang menyukarkannya bergerak.

“Walaupun saya belum pernah melakukannya, saya terus bersetuju kerana simpati dengan keadaan ibunya yang sakit lutut dan susah hendak berjalan.

“Bermula dari situ saya terfikir untuk memulakan perkhidmatan salun bergerak dan tanpa diduga menerima sambutan baik apabila menawarkan khidmat itu di laman Facebook,” katanya yang pertama kali menyediakan perkhidmatan salun bergerak ke Felda Bukit Goh, Kuantan.

Dia kemudian mula merancang menyediakan pakej dandanan rambut dan rawatan muka menerusi salun bergeraknya di sekitar Kuantan. Antara lokasi perkhidmatannya termasuk perumahan Bukit Rangin, perkampungan Cenderawasih, Bukit Setongkol, Peramu, Tanjung Lumpur, perkampungan Sungai Isap, Permatang Badak, bandar Indera Mahkota dan Kampung Kurnia.

“Jika permintaan di luar Kuantan, saya mengenakan sedikit bayaran lebih untuk menampung kos minyak kereta,” katanya.

Mimi yang pernah mengikuti kursus dandanan rambut di Pusat Giat MARA Ampang Jaya, Selangor selama enam bulan gembira kerana pekerjaannya itu tidak membebankan malah dilaksanakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

“Kepuasan dan keyakinan pelanggan paling diutamakan bagi memastikan mereka terus kekal mendapatkan perkhidmatan saya.

“Jika masih bekerja di salun, kemungkinan pelanggan saya tidak seramai sekarang, tetapi dengan mengiklankan secara aktif di Facebook, pelanggan semakin bertambah dan saya hanya menetapkan jadual bertemu mereka,” katanya.

Semua kelengkapan sama ada dandanan rambut atau rawatan muka harus dibawa bersama bagi memastikan keinginan pelanggan dapat dipenuhi,” katanya.

Mimi berkata, ibunya, Fatimah Mohamed, 43, dan bapa, Shafierul Aziz Abdul Aziz, 44, memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi untuknya menceburkan diri dalam perniagaan seperti itu.

“Bagi mereka, cara kerja saya mudah, tidak perlu memiliki kedai sendiri, sekali gus tidak perlu memikirkan duit sewa kedai selain membeli beberapa jenis peralatan seperti set untuk rawatan dan gunting rambut serta rawatan muka.

“Selain itu, saya hanya perlu menetapkan masa dan persediaan bertemu pelanggan,” katanya yang menyediakan perkhidmatan pada waktu pagi, petang dan malam dengan jumlah pelanggan minimum tiga orang.

Mimi kini memasang impian untuk membuka rangkaian spa dan salun kecantikan miliknya dan pada masa sama menghasil dan memasarkan produk rawatan rambut dan muka daripada tumbuhan organik yang dihasilkan sendiri.

“Saya sedang berusaha ke arah itu dan kini masih dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) menghasilkan bahan yang bersesuaian.

“Sebagai anak sulung, saya perlu bekerja keras membantu keluarga kerana kami bukan daripada keluarga senang. Saya memilih untuk bekerja selepas tamat mengikuti kursus jangka pendek di Giat MARA,” katanya yang pernah bekerja di beberapa spa dan salun kecantikan di Kedah dan Kuala Lumpur sebelum kembali ke Kuantan.

Berkongsi kisah dengan penulis tatkala pertama kali bertandang ke rumah pelanggan, Mimi mengakui ada perasaan takut dan gementar berdepan pelanggannya.

“Berdebar ada, takut pun ada, takut pelanggan tidak berpuas hati dengan khidmat yang saya berikan dan bimbang ditipu kerana saya tidak mengenali pelanggan sebelum ke tempat mereka.

“Alhamdulillah, maklum balas yang diberikan baik dan saya sentiasa berfikiran positif sekali gus memudahkan saya bekerjasama dengan pelanggan,” katanya.

Menurutnya, ada juga individu yang menghubunginya menyatakan perkhidmatan diberikan agak mahal berbanding salun kecantikan lain.

“Saya perlu mengambil kos minyak ke tempat mereka dan ia lebih kurang sama jika mereka juga menggunakan kenderaan untuk ke salun kecantikan yang mungkin terletak jauh dari kediaman malah bermasalah pula mencari tempat meletak kenderaan selain menempuh kesesakan jalan raya.

“Apabila difikirkan, pelanggan mendapat penjimatan lebih kerana tidak perlu mengeluarkan kos pengangkutan dan menjimatkan masa berbanding ke premis kekal,” katanya.

Mimi berkata, kebanyakan pelanggan yang ditemuinya menyatakan kesukaran untuk ke salun kerana kekangan waktu dan urusan rumahtangga terutama yang mempunyai anak kecil selain jarak di antara salun dan rumah.

“Bagi wanita yang sering ke salun, mereka terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan muka atau dandanan rambut.

“Justeru, menerusi perkhidmatan salun bergerak, mereka hanya perlu menelefon, memilih tarikh dan masa sesuai serta jenis rawatan yang mahu dibuat. Bayaran pula hanya perlu dijelaskan sebaik saja rawatan selesai,” katanya.

Katanya, dia akan menyediakan semua keperluan yang perlu dibawa dan menyemak semula jadual kerja bagi memastikan dia dapat sampai ke rumah pelanggan mengikut waktu janji temu yang sudah diatur.

Mimi berkata, kadar harga yang dikenakan tidaklah terlalu mahal selepas mengambil kira kos minyak iaitu gunting rambut RM20, cuci rambut (RM25), rawatan rambut (RM55) dan wajah (RM55).

Selain itu, Mimi juga ada mengadakan promosi pakej rawatan muka, urut bahu, urut kepala, urut belakang, rawatan rambut, cuci rambut, meluruskan rambut dan vitamin rambut pada harga RM100.

Sebagai contoh, untuk rawatan muka, Mimi mengambil masa sehingga satu setengah jam bagi mencuci muka, membuang sel kulit mati, wap muka, picit jerawat, urut muka dan kepala, urut muka dan bahu, masker, toner dan krim pada harga RM55 dengan tambahan RM5 untuk rawatan resdung tanpa asap.

“Alhamdulillah, setakat ini belum ada komen atau kritikan negatif daripada pelanggan dan saya bersyukur karier saya semakin berkembang kerana permintaan semakin meningkat dari sehari ke sehari.

“Walaupun ketika ini perkhidmatan hanya sekitar Kuantan, saya turut menerima panggilan dari kawasan luar tetapi terpaksa menolak kerana kekangan waktu dan jarak perjalanan yang agak jauh,” katanya yang mengambil jurusan Seni Kecantikan di Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Puteri, Temerloh.

Sementara itu, seorang suri rumah dari Taman Peramu Baru, Nor Faradillah Ali, 26, berpuas hati dengan kaedah dan cara rawatan diberikan.

Menurutnya, dia mengenali Mimi menerusi Facebook dan menghubunginya untuk mendapatkan rawatan muka.

“Satu setengah jam memang lama, tetapi Mimi dapat melaksanakan tugasnya dengan baik sekali dan mengikut tatacara yang dipelajarinya ketika berkursus.

“Saya juga suka mendapatkan perkhidmatan salun bergerak kerana ia berbaloi apabila saya tidak perlu mengeluarkan kos minyak, berhadapan masalah tempat meletak kereta, menunggu lama di salun dan banyak membuang masa berbanding mereka datang ke rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 10:31 AM