ADAM (kiri) tak sabar beraksi Moto3 bersama SIC Racing Team.

Kuala Lumpur: Zulfahmi Khairuddin menjadi idolanya sejak kecil, namun menggantikan pelumba Moto3 negara itu dalam pasukan SIC Racing Team bermula musim depan sesuatu yang cukup menggembirakan buat pelumba muda negara Adam Norrodin.

Bagi Adam, tawaran yang disahkan sendiri Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali itu juga memenuhi cita-citanya untuk beraksi di Kejohanan Motosikal Dunia.

“Saya sangat bangga dapat menggantikan Zulfahmi kerana dia idola saya sejak kecil.

“Walaupun mungkin tidak dapat menandinginya ketika ini, sedikit sebanyak dia banyak mengajar saya mengenai perlumbaan.

“Saya harap dia akan terus mengajar dan memberi sokongan padu,” kata pelumba berusia 17 tahun itu.

Adam yang kini beraksi dalam saingan Asia Talent Cup (ATC) serta Kejohanan Antarabangsa FIM CEV Repsol di Sepanyol menambah, dia sememangnya agak gementar untuk memulakan musim pertama saingan berprestij itu tahun depan.

Sementara itu, Razlan berkata, Adam pengganti terbaik Zulfahmi kerana pelumba kelahiran Batu Pahat, Johor itu sudah mempunyai pengalaman cukup dengan beraksi di ATC dan CEV.

“Sudah tiba masanya peluang diberikan kepadanya pula.

“Bagi saya, hanya dia seorang pelumba negara yang layak buat masa ini untuk menggantikan kekosongan dalam pasukan SIC Racing Team," katanya yang turut mengumumkan Jakub Kornfeil akan terus bersama pasukan itu musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 9:29 AM