Rajinikanth tiba di KLIA dengan dikawal ketat. FOTO ihsan pembaca
Oleh Wahi Aziz
wahiduzzaman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Bintang filem Tamil terkemuka Rajinikanth, 65, tiba di ibu negara petang tadi bagi menjalani penggambaran filem terbarunya berjudul Kabali.

Pelakon legenda itu yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.20 petang tadi dikawal ketat pengawal peribadinya dan anggota keselamatan.

Bintang filem ‘Sivaji The Boss’ itu kemudian meninggalkan KLIA dengan limosin berwarna putih.

Difahamkan, Rajinikanth atau nama sebenarnya Shivaji Rao Gaekwad akan berada di negara ini selama sebulan bagi menjalani penggambaran filem arahan Pa Ranjith itu.

Sebelum ini, timbul desas-desus berhubung kelewatan dan perubahan jadual penggambaran filem itu.

Media di India melaporkan, pada asalnya filem itu dijadualkan menjalani penggambaran selama tiga bulan di sini.

Bagaimanapun, atas faktor keselamatan dan peraturan membabitkan penggambaran di luar negara menyebabkan keputusan itu diubah pada saat akhir.

Menurut laporan, sebaliknya, sebuah set yang menyerupai beberapa latar belakang Malaysia sedang dibina bagi memendekkan durasi penggambaran filem itu.

Dalam filem berkenaan, Rajinikanth memegang watak ahli akademik, yang dikatakan berdasarkan kepada figura sebenar.

Untuk filem itu, beliau turut menggunakan kru penggambaran sama yang digunakan dalam pembikinan filem Tamil, Madras.

Selain Rajinikanth, ia turut dibintangi Radhika Apte, Kalaiarasan, Dhanshikaa dan Ritwika.

Filem berkenaan dijangka mula ditayangkan pada April tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 11:13 PM