Geeta ketika temuramah dengan media di lapangan terbang di Karachi, Pakistan, sebelum berlepas di New Delhi hari ini. - Foto AFP

New Delhi: Seorang wanita bisu dan pekak dari India yang tersesat serta terkandas selama 13 tahun di Pakistan selamat kembali ke negaranya hari ini .

Kisah Geeta, wanita beragama Hindu berusia 20-an menyentuh perasaan penduduk kedua-dua negara yang sudah lama bertelagah.

“Geeta tiba di New Delhi ditemani wakil Edhi Foundation," kata jurucakap Kementerian Luar India, Vikas Swarup, melalui Twitter.

Edhi Foundation ialah pertubuhan kebajikan di Pakistan yang menjaga Geetha.

Geeta berusia 11 atau 12 tahun ketika dia menyeberang sempadan yang dikawal ketat tentera ke Pakistan dan terkandas di negara itu kerana tidak boleh memberitahu siapa dirinya dan dia dari mana.

Dia diserahkan kepada rumah penjagaan kanak-kanak di Lahore dan diberi nama Fatima. Geeta yang kini berusia 20-an, kemudian dijaga pertubuhan kebajikan terbesar Pakistan, Edhi Foundation di Karachi. Malah nama Geeta itu diberi oleh kakitangan Edhi.

Difahamkan Geeta ditemui seorang diri tanpa dokumen pengenalan diri di atas kereta api dari India ke Lahore dan polis menyerahkannya kepada Edhi Foundation.

Kepulangannya ke India selepas dia mengenal pasti gambar sebuah keluarga di Bihar, India, yang dihantar pihak berkuasa India sebagai keluarganya,

Wanita itu akan menjalani ujian DNA sebelum diserahkan kepada keluarga berkenaan.

Geeta yajin keluarga dari Bihar itu adalah keluarganya dan menyimpan gambar itu sepanjang masa.

“Ini bapa dan ini adik lelaki saya,” katanya sambil menunjuk orang di dalam gambar berkenaan ketika ditemuramah di Karachi awal bulan ini, menggunakan bahasa isyarat.

Namun, timbul persoalan kerana keluarga di Bihar itu mendakwa anak perempuan mereka yang hilang sudah berkahwin dan mempunyai anak manakala Geeta masih kanak-kanak ketika ditemui di Lahore.

Menurut pihak berkuasa India, jika ujian DNA mendapati Geeta tiada hubungan dengan keluarga itu, dia akan dijaga institusi yang bersesuaian dan usaha mencari keluarganya akan diteruskan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 6:01 PM