1. DALAM keadaan sedia, buka kaki sedikit dengan tangan mencekak pinggang.
2. SEBELAH kaki naik ke atas ‘step board’ diikuti kaki sebelah lagi dan turunkan kaki (seperti berjalan setempat).
3. SEBELAH kaki di atas ‘step board’ dengan tangan melunjur secara lurus ke depan.
4. TARIK tangan ke dada serentak melunjurkan kaki ke belakang.
5. SEBELAH kaki di atas penjuru ‘step board’ dengan tangan mencekak pinggang.
6. SEBELAH kaki lagi dinaikkan ke depan sambil tundukkan sedikit badan dengan gerakan lutut naik dan turun sebanyak tiga kali.
7. POSISI seperti bertinggung di depan ‘step board’.
8. LOMPAT ke atas ‘step board’ dan buat posisi seperti bertinggung ketika mendarat. Ini bagi menyerap impak lompatan untuk mengelakkan kecederaan lutut.
9. SEBELAH kaki naik atas ‘step board’ dengan tangan diluruskan ke depan paras dada.
10. TENDANG sebelah lagi kaki ke arah tangan mengikut kemampuan.
11. BARING dengan sebelah kaki dibengkokkan dan diletak di atas ‘step board’, manakala sebelah lagi kaki ditegakkan.
12. TOLAK pinggul ke atas dalam kiraan 15 ke 30 saat. Ulang dengan kaki sebelah lagi.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Susuk tubuh yang langsing sememangnya menjadi dambaan wanita dan hanya dengan senaman yang betul impian memiliki tubuh menawan dapat dicapai.

Bagaimanapun, dek kesibukan tugas seharian terutama mereka yang berkerjaya, agak sukar membahagikan masa untuk melakukan senaman di luar rumah atau di pusat latihan kecergasan.

Jika tiada kesempatan untuk ke pusat latihan kecergasan, cukup dengan melakukan senaman menggunakan ‘step board’ untuk membentuk dan menurunkan berat badan dengan cepat.

Terdapat pelbagai senaman boleh dipraktikkan dengan menggunakan ‘step board’, malah mudah dilakukan bagi mereka yang kesuntukan masa.

Aktiviti seperti latihan ‘step board’ menghasilkan perubahan dari segi ukuran dan bentuk otot di bahagian bawah badan.

Latihan ‘step board’ juga membantu membakar kalori dengan lebih cepat, di samping menghilangkan tekanan, maka ia sesuai dilakukan untuk mereka yang mahu menurunkan berat badan.

Ini kerana, ‘step board’ menghasilkan perubahan dari segi ukuran dan bentuk otot di bahagian bawah badan yang mana penambahan ketinggian permukaan secara tidak langsung memberi lebih kepada bebanan.

Senaman ini amat mudah dilakukan di mana saja dan sesuai untuk mereka yang sering sibuk.

Beberapa pergerakan senaman mudah boleh dilakukan yang amat berkesan untuk membentuk bahagian badan tertentu sekiranya dilakukan dengan konsisten.

Malah, senaman ini juga menguatkan jantung, sekali gus meningkatkan stamina dan kecergasan. Secara tidak langsung, kita boleh melakukan tugas seharian lebih mudah dan cekap kerana apabila badan cukup stamina, tenaga yang digunakan sangat minimum.

Antara pergerakan latihan ‘step board’ ialah ‘step up and down’, ‘row and lift’, ‘side to side three knees’, lompatan, ‘side step plus high kick’ dan ‘glute raise’ untuk membentuk otot bahagian bawah badan seperti punggung dan paha.

Jurulatih kecergasan Rockafella Ampang, Siti Nur Hidayah Mohamad Nor menunjukkan beberapa pergerakan mudah menggunakan ‘step board’.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 11:24 AM