PENDEDAHAN perlu diberikan kepada guru yang mengikuti opsyen bahasa Inggeris bagi membantu mereka memahami hasrat pengenalan MBMMBI dengan lebih mendalam. - Gambar hiasan
KEBANYAKAN pelajar boleh menguasai bahasa Melayu dan Inggeris dalam konteks peperiksaan tapi gagal mengaplikasikannya dalam aspek komunikasi. - Gambar hiasan
PENGGUNAAN teknologi maklumat adalah antara mekanisme paling tepat untuk membantu pelajar menguasai subjek bahasa Melayu dan Inggeris.- Gambar hiasan
KERJASAMA yang terjalin antara pelajar dan guru adalah aspek penting untuk menjayakan MBMMBI sekali gus menjayakan kecemerlangan yang disasarkan. - Gambar hiasan
PENGENALAN MBMMBI boleh membantu pelajar untuk lebih bersedia di pusat pendidikan bertahap tinggi seperti kolej dan universiti selepas Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM). - Gambar hiasan
MBMMBI boleh mencapai matlamatnya andai semua pihak menunjukkan komitmen bersepadu bagi menjayakannya sekali gus menaikkan prestasi kecemerlangan pelajar di peringkat pendidikan awal ke peringkat pendidikan tinggi. - Gambar hiasan
Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@mediaprima.com.my

usaha kerajaan memperkenalkan program dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) selaras hasrat pelbagai pihak membantu pelajar menguasai kedua-dua bahasa utama berkenaan.

MBMMBI antara salah satu kelangsungan yang dibuat bagi memastikan keupayaan pelajar untuk menguasai kedua-dua bahasa berkenaan yang diharap mampu melonjakkan lagi mekanisme pendidikan negara ke tahap paling tinggi.

Malah MBMMBI juga diharap menjadi platform utama bagi menyokong usaha kerajaan untuk membantu pelajar menguasai bahasa kebangsaan dan bahasa antarabangsa dengan baik bermula dari pendidikan rendah, menengah hingga tertinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menerusi Bajet 2016 yang dibentangkan Jumaat lalu menekankan usaha untuk terus memperluaskan lagi MBMMBI dengan memberi peruntukan sebanyak RM135 juta.

Banyak pihak menganggap ia antara komitmen serius kerajaan untuk melaksanakan matlamat pengenalan MBMMBI.

Namun, perjalanan bagi memastikan MBMMBI tidak tersasar daripada matlamatnya juga perlu ditangani dengan baik bagi memastikan pengenalan program itu mencapai objektifnya.

Guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau, Kuantan, Pahang, Suyani Mohamad berkata objektif sasaran MBMMBI hanya akan berjaya jika pelaksanaannya dilakukan secara terancang dengan persediaan lebih baik.

Menurutnya, kerjasama padu pelbagai pihak perlu seiring bagi memastikan pelaksanaan tanggungjawab dapat dilakukan dengan baik selain memastikan segala infrastuktur digunakan dalam proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) lengkap serta dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

“MBMMBI antara usaha yang jitu dan bersepadu diperkenalkan bagi membantu pelajar menguasai kedua-dua bahasa penting ini, namun mesti dilakukan mengikut kaedah sewajarnya.

“Sejak Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan mulai tahun 2012, MBMMBI antara landasan yang diharap mampu meneruskan kesinambungan hasrat pelbagai pihak untuk melonjakkan prestasi pelajar.

“MBMMBI boleh berjaya direalisasikan, tapi dengan syarat ia dilakukan secara sepadu oleh pihak terbabit seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), guru, sekolah, pelajar dan masyarakat,” katanya.

Menurutnya, peranan MBMMBI dalam membantu melonjakkan penguasaan bahasa pelajar sangat penting demi kelangsungan golongan itu namun cara pelaksanaan juga perlu diberi keutamaan khusus bagi mengelak perkara berbangkit.

“Idea memperkenalkan MBMMBI adalah tepat di tengah kekalutan pihak tertentu yang menyatakan penguasaan kedua-dua bahasa itu kurang memberangsangkan walaupun sudah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Pengenalan awal MBMMBI terutama di peringkat sekolah juga bertujuan memberi pendedahan awal kepada golongan berkenaan untuk lebih menguasai kedua-dua bahasa penting itu.

“Tapi ia perlu dilakukan secara betul dan profesional selain mengenal pasti kelemahan sedia ada termasuk penugasan guru yang tidak mengikut opsyen kerana ia boleh merencatkan perjalanan MBMMBI secara tidak langsung,” katanya.

Menurutnya, MBMMBI sewajarnya disuntik elemen P&P secara menyeluruh dengan tidak menekankan aspek akademik semata-mata sebaliknya diseimbangkan dengan perkara lain termasuk aktiviti fizikal dan percambahan minda.

Seterusnya pengenalan dua lagi intensif iaitu Dual Language Programme dan Highly Immersive Programme yang bakal dilaksanakan secara optional dengan kos RM38.5 juta pula perlu dilakukan secara menyeluruh. Sebanyak 300 sekolah dikenal pasti bagi projek perintis program berkenaan.

Sementara itu, guru di Kolej Vokasional Johor Bahru Johor, Huda Hussein berkata pengenalan MBMMBI pada peringkat awal boleh membantu pelajar untuk lebih bersedia menjejakkan kaki di institut pengajian lebih tinggi.

Menurutnya, kebanyakan pelajar boleh menguasai kedua-dua bahasa berkenaan dalam konteks peperiksaan seperti penulisan, namun berdepan masalah khususnya dari aspek komunikasi.

“Dalam konteks bahasa sama ada bahasa Melayu atau Inggeris, komunikasi menjadi aspek penting dalam menentukan penampilan atau keyakinan diri pelajar.

“Namun aspek inilah yang sentiasa gagal dikuasai mereka sekali gus menyumbang kepada ketidakupayaan untuk berdepan situasi P&P atau dunia kerjaya.

“MBMMBI boleh dijadikan platform memulakan usaha awal membantu pelajar memperkukuhkan aspek itu dengan syarat ia dilaksanakan mengikut modul atau silibus yang ditetapkan,” katanya.

Dia berkata, banyak usaha sudah dilakukan untuk meneruskan kesinambungan MBMMBI kepada pelajar sebaik meninggalkan alam persekolahan.

“Rungutan daripada institusi lebih tinggi seperti kolej atau universiti berkenaan ketidakmampuan pelajar berbahasa Melayu dan Inggeris wajar diambil tindakan serius kerana menyukarkan usaha P&P yang dilakukan di peringkat tinggi pula.

“Pengenalam MBMMBI di peringkat sekolah antara langkah awal bagi mengatasi masalah itu tapi perlu dilakukan secara konsisten selain tidak berdasarkan aspek teori semata-mata.

“Sama ada di peringkat sekolah atau pengajian peringkat tinggi, proses P&P perlu dilakukan secara intensif. Kegagalan melaksanakannya bakal merencatkan objektif MBMMBI,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 10:46 AM