SEBUAH pesawat bersiap sedia untuk mendarat di lapangan terbang di Manila yang diselimuti jerebu tipis, semalam.
Agensi

Manila: Musim kering yang teruk akibat fenomena El Nino akan menyebabkan wilayah tengah dan selatan Filipina menderita jerebu akibat kebakaran hutan di Indonesia sehingga awal 2016.

Keadaan itu dijangka berlaku walaupun terdapat usaha memadamkan kebakaran membabitkan beberapa negara, kata pegawai.

“Masalah kebakaran hutan di Indonesia akan menjejasakan wilayah Visayas dan Mindanao kerana El Nino menyebabkan kemarau di beberapa bahagian Filipina dan Indonesia,” kata Joe Frivaldo, pakar di Pagasa, agensi kaji cuaca Filipina.

Menurutnya, kesan El Nino akan kekal di Filipina walaupun selepas bermula musim sejuk pada Oktober, November dan Disember.

Dia juga meramalkan, kesan El Nino itu akan berterusan di Indonesia sehingga Disember.

Sejak beberapa minggu lalu sebahagian Mindanao dan Visayas diselimuti jerebu selepas kebakaran hutan di Indonesia mencapai tahap krisis dengan 357 titik panas di Kalimantan dan 825 di Sumatera.

“Asap dari Indonesia itu tiba di Filipina menerusi angin. Ia bermula kerana monsun barat daya di negara ini dan Taufan Koppu membadai bahagian tenggara Pulau Luzon pada 18 Oktober lalu selain kehadiran satu lagi ribut petir tropika yang menyusuli Koppu di Lautan Pasifik. Ia membawa jerebu sehingga ke tengah dan selatan Filipina,” kata Frivaldo.

Seorang penduduk Mindanao Gina Sabit berkata: “Kerana jerebu dari Indonesia kami tidak boleh melihat bangunan yang biasanya kelihatan dari rumah kami.”

Menurutnya, walaupun hujan lebat, jerebu itu tidak hilang.

Kesan daripada jerebu itu memaksa operasi di sebuah lapangan terbang di Cebu, tengah Filipina dan lima di Mindanao di selatan negara itu ditutup kerana jarak penglihatan terlalu rendah.

Ia mencetuskan kebimbangan di pihak Lembaga Lapangan Terbang Antarabangsa Manila kerana penerbangan yang dibatalkan atau ditunda itu akan menjejaskan trafik udara di tiga terminal Lapangan Terbang Ninoy Aquino.

Filipina sebelum ini jarang terkena jerebu akibat pembakaran hutan di Indonesia yang berlaku hampir setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 5:05 AM