PUTING beliung Patricia membadai barat Mexico, kelmarin.

Puerto Vallarta: Puting beliung Patricia membadai barat Mexico kelmarin, menumbangkan pokok dan menyebabkan beberapa kejadian tanah runtuh.

Bagaimanapun, kerosakan yang berlaku disifatkan lebih kecil berbanding yang dijangka bagi ribut sebesar itu.

Pihak berkuasa memindahkan penduduk yang mendiami kawasan pantai dan pelancong dari beberapa hotel, menutup pelabuhan, lapangan terbang dan sekolah di beberapa negeri sebelum Patricia melanda negeri Jalisco dengan puting beliung yang dikategori tahap lima.

Patricia dilapor berkembang menjadi puting beliung paling kuat pernah dicatatkan beberapa jam sebelum tiba di pantai, meningkatkan kebimbangan ia akan menyebabkan kematian dan kemusnahan besar.

Bagaimanapun, lima jam selepas itu, Presiden Enrique Pena Nieto, dalam ucapannya ke seluruh negara menerusi televisyen berkata, laporan awal ‘mengesahkan kerosakan adalah lebih kecil daripada yang dijangka.’

Namun, Pena Nieto menggesa penduduk supaya tidak meninggalkan tempat perlindungan dengan memberi amaran Patricia masih menjadi ancaman dengan hujan lebat dijangka melanda beberapa wilayah.

Patricia membawa angin selaju 325 kilometer sejam, lebih kencang berbanding Taufan Haiyan dengan angin 315 kilometer sejam yang membadai Filipina pada 2013 hingga menyebabkan 7,350 orang mati atau hilang.

Gabenor Jalisco Aristoteles Sandoval berkata, setakat ini tidak ada laporan kematian diterima. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 5:08 AM