YAMAHA XV950R Bolt.
ENJIN V Twin 942 cc.
TEMPAT selesa.
BENTUK yang bergaya.
Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Budaya motosikal ‘cruiser’ sebenarnya sinonim dengan jenama Amerika Syarikat yang bermula antara era 1930-an sehingga 1960-an.

Atas permintaan dan popularitinya yang semakin ‘kencang’, syarikat automotif dua roda dari matahari terbit ini mula menceburi dalam pembikinan jentera ‘cruiser’ pada pertengahan 1980-an.

Sehinggalah pada hari ini, banyak motosikal ‘cruiser’ masih lagi mempunyai peminatnya tersendiri yang boleh dimiliki mengikut kemampuan tidak kiralah jenama Amerika Syarikat, Eropah atau Jepun.

Bagi Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) selaku pengedar jenama Yamaha di negara ini, mula berkecimpung dalam memasarkan motosikal kategori itu menerusi model Yamaha XV950R Bolt.

Yamaha XV950R Bolt sebenarnya mengikut beberapa model motosikal berkuasa tinggi membabitkan Yamaha XJ6, MT07 dan MT-09.

Biarpun pasaran motosikal berkuasa tinggi melebihi 250 cc dilihat menurun hampir 3.5 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 2014, ia tidak menghalang buat HLYM menawarkan model ‘cruiser’ itu yang sebelum ini popular di beberapa buah negara lain termasuklah Amerika Syarikat.

Yamaha XV950R Bolt yang sebelum ini diperkenalkan pada Julai tahun lalu pada peringkat global dijanakan enjin V Twin 942 cc suntikan petrol, penyejukan udara, empat lejang dan dua silinder.

Menerusi kapasiti itu, ia mampu menghantar kuasa sehingga 52.1 PS pada 5,500 rpm dan tork mencecah 79.5Nm pada 3000rpm dengan padanan kotak gear lima kelajuan.

Daripada reka bentuknya, ia jelas tampak kompak dan bergaya dengan padanan tempat duduk yang rendah, selain menggunakan kerangka keluli buaian berkembar untuk memberi pengendalian sporty.

Lampu depannya yang bulat turut menyerlahkan kriteria klasiknya bersama panel meter kelajuan menggunakan bentuk sama.

Bagi mengekalkan penampilan ‘Bobber’, ia menggunakan rim 12 jejari bersama tayar 100/90-19 di depan dan 150/80-16 di belakang.

Penampilan itu diserlahkan lagi dengan padanan suspensi sporty bersama cakera brek 298 milimeter yang memberikan prestasi seimbang dan cengkaman meyakinkan.

Buat masa ini, HLYM hanya menjualkan Yamaha XV950R Bolt import dari Jepun yang dijual pada harga RM52,500 tidak termasuk insurans. Namun, HLYM akan melakukan model pemasangan tempatan (CBU) penghujung 2016 dan mungkin ketika itu harganya lebih menarik berbanding model import.

Yamaha XV950R Bolt juga didatangkan dengan aksesori dan hanya ditawarkan hanya satu warna iaitu Matt Grey.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 5:01 AM