BASUH tangan dengan menggunakan sabun dan air .
PESAKIT yang dijangkiti akan mengalami demam panas berpanjangan.
BAKTERIA Salmonella Typhi.
ELAK makanan yang dicemari.
Oleh Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Selain ancaman jerebu, demam kepialu kini menjadi ancaman terbaru sebaik Kementerian Kesihatan memaklumkan kes thypoid atau demam kepialu meningkat dengan mendadak iaitu sejak minggu pertama Ogos tahun ini.

Dalam tempoh berkenaan, sebanyak tujuh notifikasi kes demam kepialu diterima Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL), di mana rata-ratanya adalah buruh binaan yang tinggal di Cheras dan bekerja berdekatan pusat bandar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai dua daripada 10 pekerja kontrak yang diperiksa juga didapati positif ujian dan mereka diberikan rawatan. Sejak itu, beberapa kes lagi diterima dari beberapa hospital kerajaan dan swasta di Kuala Lumpur.

“Sehingga 18 Oktober 2015, jumlah kes terkumpul sebanyak 32 kes. Daerah Titiwangsa mencatat bilangan kes tertinggi iaitu 16 kes, diikuti Kepong (8), Lembah Pantai (4) dan Cheras (4). Namun begitu, sehingga kini tiada kematian dilaporkan.

“JKWPKL juga menjalankan penyiasatan epidemiologi di lapangan bagi mengetahui punca jangkitan yang menyebabkan kejadian demam kepialu,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Sejumlah 79 sampel najis dan empat sampel bekalan air minum diambil bagi mengesan kehadiran bakteria berkenaan. Setakat ini belum ada sampel yang dilaporkan positif Salmonella typhi.

Pemeriksaan juga dijalankan di kilang pembekal ais. Di samping itu, aktiviti pemantauan dan kawalan membabitkan sistem pembekalan air dijalankan bagi memastikan kualiti bekalan air di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) tidak tercemar.

Pakar Kesihatan Awam Hospital Columbia, Dr Hanafiah Bashirun berkata, demam kepialu adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Salmonella typhi yang mencemari makanan atau minuman.

“Bakteria ini menjangkiti individu lain daripada najis yang mengandungi bakteria ini yang mencemari air atau makanan individu lain.

“Seseorang yang dijangkiti akan mengalami gejala di antara satu hingga tiga minggu selepas mengambil makanan atau minuman tercemar.

“Gejala utama adalah keletihan, demam, sakit perut, sembelit dan sakit kepala. Pesakit juga boleh mengalami cirit-birit dan muntah,” katanya kepada Metro Ahad.

Menurutnya, sebelum ini wabak berkenaan berjaya dikawal. Namun baru-baru ini, ia membabitkan pendatang asing dan mungkin disebabkan kawasan tempat tinggal yang padat dan tidak mengamalkan kebersihan diri atau sistem sanitasi juga pembentungan tidak mengikut piawai yang ditetapkan.

“Sebenarnya jangkitan ini dapat dicegah melalui penjagaan kebersihan. Bermula dengan kebersihan diri iaitu selalu membasuh tangan dan juga pam tandas selepas digunakan.

“Sistem pembentungan dan saluran hendaklah mengikut piawaian serta menggunakan tandas untuk membuang air besar supaya najis yang mengandungi bakteria tidak mencemari air minuman atau makanan individu lain,” katanya.

Kira-kira 10 hingga 30 peratus kematian berlaku kepada pesakit yang dijangkiti bakteria ini dan tidak mendapatkan rawatan. Sebagai pencegahan awal, vaksin adalah cara terbaik untuk mengelak bakteria ini menghampiri individu.

“Semua individu berisiko mendapat demam kepialu. Selain vaksin, sesiapa yang disyaki dijangkiti harus segera mendapatkan rawatan serta antibiotik yang sesuai bagi menghalang sebaran penyakit,” katanya.

Cara demam kepialu merebak

- Melalui makanan dan minuman yang tercemar oleh najis manusia yang mengandungi bakteria Salmonella typhi.

- Melalui makanan dan minuman yang disediakan oleh pesakit dan pembawa bakteria Salmonella typhi.

- Melalui hinggapan lalat yang membawa bakteria Salmonella typhi.

- Menggunakan bekalan air tidak bersih.

- Tempoh pengeraman adalah antara tiga hari hingga tiga bulan (purata 1 hingga 3 minggu) iaitu tempoh pesakit menunjukkan gejala selepas mendapat jangkitan bakteria ini.

Tanda dan gejala

- Demam panas berpanja­ngan.

- Sembelit.

- Sakit badan, lemah, letih lesu.

- Kurang selera makan.

- Sakit kepala.

- Mata layu dan cengkung.

- Cirit-birit.

- Sakit perut.

- Ruam (bintik merah pada bahagian atas badan).

- Tidak sedarkan diri dan meracau.

Bahaya demam kepialu

- Pesakit boleh mengalami pendarahan dan bahagian yang dijangkiti di dalam usus boleh pecah atau bocor.

- Menyebabkan kematian jika tidak mendapat rawatan awal dan secukupnya.

- Dua hingga lima peratus kes menjadi pembawa kronik kerana bakteria masih wujud dalam saluran biliari walaupun gejala tiada.

Langkah pencegahan demam kepialu

- Basuh tangan dengan menggunakan sabun dan air selepas ke tandas dan sebelum menyediakan makanan.

- Basuh ulam-ulaman, sayur-sayuran dan buah-buahan dengan air bersih sebelum dimakan.

- Hanya gunakan air bersih untuk penyediaan makanan.

- Basuh pinggan mangkuk dengan menggunakan air yang bersih.

- Minum air yang dimasak atau air yang dibotolkan.

- Tutup semua makanan.

- Gunakan penyepit untuk mengambil makanan.

- Gunakan tandas yang bersih dan sempurna.

- Gunakan bekalan air yang bersih dan terawat.

- Bersihkan kawasan sekeliling rumah dan lupuskan sampah dengan sempurna.

- Pilih gerai dan pengendali makanan yang bersih.

Langkah penting ketika menyediakan makanan

1. Cuci tangan dengan sabun selepas keluar dari tandas kerana tangan hendaklah bersih ketika menyediakan makanan.

2. Kuku mesti dipotong pendek agar tiada kekotoran terlekat di celah kuku dan hendaklah sentiasa dalam keadaan bersih.

3. Pakai pakaian bersih dan kemas, tudung kepala dan apron ketika mengendalikan makanan.

4. Jangan batuk atau bersin ke arah makanan kerana kuman ada dalam hidung dan mulut boleh masuk dalam makanan.

5. Seseorang yang mempunyai kudis atau luka di tangan mesti menutupnya dengan plaster kalis air atau sarung tangan jenis pakai buang untuk mengendalikan makanan.

6. Jangan mengendalikan makanan apabila terkena cirit-birit atau demam

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 5:01 AM