KUALA LUMPUR 24 OKTOBER 2014. Pesuruhjaya Sukan Ahmad Shapawi Ismail, mengumumkan Pertubuhan Kebangsaan Bebasikal Malaysia (MNCF) di gantung hari ini ketika bertemu Pejabatnya di Bukit Jalil. NSTP/Hasriyasyah Sabudin
Oleh Azlan Muhammad Zain dan Ferzalfie Fauzi
sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) menyifatkan peruntukan bajet RM145 juta mencukupi bagi melonjakkan Malaysia bergelar juara keseluruhan Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, peruntukan spesifik kepada atlet normal dan paralimpik yang diumumkan menunjukkan kerajaan fokus dengan matlamat berkenaan.

“Pengiktirafan ini akan melonjakkan semangat kita untuk berusaha lebih giat dalam menyediakan program latihan atlet yang terbaik untuk tahun depan.

“Program ‘Kita Juara’ yang dilancarkan dua bulan lalu sudah mengenal pasti hampir 800 atlet normal bagi Fasa 1 (September 2015-September 2016) yang menjalani latihan sepenuh masa bagi tujuan berkenaan.

“Atlet paralimpik yang bakal menyertai Sukan Para ASEAN 2015 pada hujung tahun ini dan akan memulakan program mereka pada Januari 2016,” katanya.

Jelasnya, peruntukan berkenaan mencukupi kerana menyediakan bajet berasingan untuk Program Podium (RM75 juta) dengan harapan atlet elit negara mencapai kejayaan lebih cemerlang di pentas lebih tinggi.

“Jadi, program latihan atlet elit yang sebelum ini dikendalikan MSN akan mempunyai peruntukan tersendiri. Ia akan membolehkan program latihan dan pertandingan serta khidmat sokongan lebih baik kepada kumpulan atlet elit negara itu,” jelasnya.

Perkembangan berkenaan pastinya akan membolehkan MSN mempunyai peruntukan untuk disalur dan dimanfaatkan kepada lebih ramai atlet.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2015 @ 5:25 AM