SEORANG wanita merakam keadaan jerebu di Davao, selatan Filipina semalam.

Manila: Jerebu yang berpunca daripada asap kebakaran hutan di Indonesia kini merebak ke selatan Filipina menyebabkan penerbangan tergendala dan tahap kualiti udara merosot.

Mindanao terletak 1,200 kilometer dari lokasi kebakaran hutan terhampir di Indonesia, tetapi jerebu semakin buruk sejak minggu ini

Jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina, Eric Apolonio berkata, sejak 16 Oktober lalu, dua penerbangan domestik dibatalkan dan puluhan penerbangan di 10 lapangan terbang di Mindanao tergendala.

Katanya, dalam sesetengah keadaan, juruterbang langsung tidak nampak landasan ketika mendarat.

“Sekiranya juruterbang tidak nampak landasan, ia sangat bahaya kerana anda tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada peralatan,” katanya.

Jerebu yang melanda bandar Davao yang mempunyai 1.5 juta penduduk semalam menyebabkan tahap kualiti udara merosot.

Lapangan terbang Davao yang mengendalikan 48 penerbangan sehari turut terjejas.

Apolonio memberitahu, jarak penglihatan yang jatuh ke paras 1.2 kilometer menyebabkan pesawat terpaksa berlegar dan menunggu hampir satu jam sebelum mendarat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2015 @ 5:09 AM