ANTARA produk taman yang melengkapkan sudut privasi.
ANTARA idea binaan gazebo dengan rekaan yang dijangka memenuhi cita rasa semua.
GAYA susunan perabot dengan idea reka letak yang menarik ditonjolkan hasil pereka Kraftangan Malaysia.

Arus modenisasi ada kalanya membataskan idea dan kreativiti seseorang. Jika dulu kediaman dikelilingi suasana desa, tapi kini bukan sesuatu yang mudah terutama di bandar besar.

Jemu dengan hiasan sama, penggunaan produk kraf dilihat mampu menampilkan keistimewaan tersendiri menepati cita rasa pengguna masa hari ini.

Gabungan elemen kraf tradisional dan kontemporari yang dihasilkan tampak berbeza dengan produk hiasan yang sering digunakan untuk mengatur ruang kediaman gaya diimpikan.

Kesempurnaan sesuatu kediaman itu juga terletak kepada kuasa hiasan bagi halaman rumah.

Ini kerana hiasan dalaman saja tidak memadai untuk menaikkan keindahan. Ia perlu disusuli dekorasi seni bina, landskap dan aksesori taman.

Produk seperti perabot kayu, gazebo, pasu seramik, lampu hiasan dan aksesori kraf bersesuaian antara eleman yang menepati konsep hiasan dalaman dan seni taman yang diketengahkan melalui Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman anjuran Kraftangan Malaysia bermula 29 Oktober hingga 2 November ini.

Promosi kali ke-9 ini menghimpunkan lebih 200 usahawan kraf daripada pelbagai bidang seluruh negara untuk mempamer dan memasarkan produk istimewa yang dihasilkan.

Antara produk unik yang menjadi tarikan ialah lampu hiasan bermotifkan flora dan fauna, produk kayu dan gubahan hiasan.

Malah produk berkenaan mengutamakan elemen kraf tempatan termasuk tekstil, hasil rimba, logam dan hasil tanah.

Pada masa sama promosi ini menggabungkan aktiviti dalam mengetengahkan produk kraf berasaskan nikmat alam semula jadi melalui hiasan dalaman (dekorasi) dan seni taman (seni bina lanskap).

Bukan saja sesuai untuk kediaman malah memberi idea kepada setiap individu yang ingin menghiasi ruang pejabat, pusat beli belah atau hotel.

Gaya susunan perabot dengan idea reka letak yang menarik ditonjolkan hasil pereka Kraftangan Malaysia yang pastinya mampu menggamit rasa pengunjung.

Bagi yang berminat untuk mencari idea dan kelengkapan yang sesuai untuk hiasan kediaman, jangan lepaskan peluang mengunjungi promosi ini dari 10 pagi hingga 10 malam.

Maklumat lanjut layari www.kraftangan.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2015 @ 1:00 AM