Kemungkinan hadapi masalah kesihatan mental dua kali ganda sekiranya habiskan lebih 3 jam sehari.
Susunan Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Teknologi canggih hari ini yang diiringi lambakan gajet se­perti telefon pintar dan tab mula mengubah keriangan zaman kanak-kanak berbanding satu ketika dulu.

Hasil teknologi membolehkan anak-anak masa kini lebih banyak melayari Internet terutama laman sosial yang dijadikan platform untuk berkomunikasi tanpa sempadan.

Kanak-kanak yang menghabiskan masa di media sosial lebih daripada tiga jam sehari, berkemungkinan menghadapi dua kali ganda masalah kesihatan mental.

Laporan dari Pejabat Statistik Kebangsaan mendapati masalah emosi, hiperaktif dan tingkah laku buruk pada tahap lebih tinggi dalam kalangan remaja ialah mereka yang menghabiskan masa di laman web seperti Facebook, Twitter dan Pinterest.

Dari laporan itu, antara 2012 dan 2013, sebanyak 37 peratus kanak-kanak menghabiskan masa yang singkat di laman rangkaian sosial sementara 56 peratus memakan masa hingga tiga jam.

Kira-kira lapan peratus kanak-kanak berada di laman web rangkaian sosial lebih tiga jam pada hari sekolah biasa.

Daripada segi jantina, kanak-kanak perempuan jauh lebih banyak menghabiskan masa lebih tiga jam di laman web rangkaian sosial berbanding kanak-kanak lelaki.

Pada 2012 hingga 2013, sekurang-kurangnya satu daripada 10 kanak-kanak perempuan yang menyamai 11 peratus menghabiskan lebih tiga jam di laman sosial berbanding hanya lima peratus kanak-kanak lelaki.

Laporan itu turut mendapati wujud ‘kejelasan’ antara masa yang lebih lama di laman sosial dan kanak-kanak yang melaporkan kesukarannya disebabkan masalah kesihatan mental.

Kanak-kanak terbabit yang berada di laman sosial lebih dari tiga jam pada hari sekolah biasa dilaporkan ‘sukar mendapat skor yang lebih tinggi’ berbanding yang tidak menggunakan laman sosial atau menghabiskan masa kurang daripadanya.

Memetik laporan itu, kanak-kanak yang menghabiskan masa lebih tiga jam di laman sosial pada hari persekolahan, dilaporkan sebanyak 27 peratus mempunyai kesukaran atau sangat sukar untuk mendapatkan jumlah skor tinggi.

Ia lebih dari dua kali ganda berbanding kanak-kanak yang menghabiskan masa singkat di laman sosial pada hari persekolahan iaitu sebanyak 12 peratus.

Laporan itu turut menyatakan, laman sosial ialah ciri-ciri yang sentiasa wujud dalam kehidupan sosial terutamanya memenuhi keinginan golongan muda.

Walaupun pelbagai cara dilakukan untuk menghubungkan masyarakat dan membentuk hubungan itu dengan meningkatkan kesihatan mental kanak-kanak, namun mereka turut menjadi sumber perbandingan sosial, buli siber dan pengasingan.

Masa skrin termasuk menonton televisyen, menghabiskan masa pada komputer dan bermain permainan video turut dikaitkan dalam penyelidikan sebelumnya dengan tahap yang lebih tinggi tekanan emosi, kebimbangan dan kemurungan.

Pengerusi baru bagi Persidangan Guru-Guru Besar (HMC) Sekolah, Chris King berkata, kanak-kanak di sekolah persendirian terkemuka kini beralih kepada kaunseling untuk membantu mereka menghadapi tekanan akibat terkenal di media sosial.

Menurut Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Dr Hayley Van Zwanberg dari Kumpulan Priory, kanak-kanak masa kini benar-benar tenggelam dalam dunia maya yang merosakkan cara mereka melihat diri mereka sendiri dan cara mereka melihat dunia nyata. Sesetengah kanak-kanak muda ini mendapati sukar untuk memilih realiti dari fantasi.

“Kanak-kanak terlalu mempercayai teknologi moden dan tidak sedar pengaruh negatif yang dikuasai Internet.

“Kemahiran sosial dan kebolehan kanak-kanak untuk berbual dan aktif mendengar serta pemba­ngunan empati akan terjejas.

“Mereka bergurau, menghantar foto dan video tanpa terbabit secara realiti dengan orang ramai atau benar-benar mendengar antara satu sama lain.

“Mereka menghantar dan membuat kenyataan tanpa melihat kesan serta-merta di atas komen mereka terhadap orang lain. Di hujung perbualan, mesej itu boleh dinafikan atau disalahertikan,” katanya yang bekerja di Hospital Priory Woodbourne di Birmingham.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 12:42 PM