PELAJAR memakai topeng muka ketika meninggalkan sekolah mereka di daerah Muang, Yala, semalam.
Agensi

Bangkok: Selatan Thai dilanda pencemaran udara terburuk dalam tempoh 10 tahun berikutan pembakaran hutan di Indonesia sejak dua bulan lalu.

Keadaan itu bukan saja menyebabkan penduduk berdepan dengan kesukaran bernafas, tetapi juga memaksa penerbangan ditunda di kawasan yang popular dengan pelancong di wilayah berkenaan.

Thailand biasanya terlepas daripada kesan kebakaran di Indonesia yang berlaku setiap tahun.

Bagaimanapun, sejak beberapa minggu lalu, angin yang bertiup dari Sumatera membawa asap kebakaran di wilayah Indonesia itu ke utara.

Pegawai Thai berkata semalam, kualiti udara di tujuh wilayah selatan negara itu kini merosot kepada paras tidak sihat dengan Songkhla mencatatkan pembacaan paling tinggi.

Ia menyebabkan beberapa penerbangan terpaksa ditunda.

“Ia menjadi krisis sekarang. Ia yang paling buruk dalam masa 10 tahun,” kata Ketua Pejabat Alam Sekitar Songkhla Halem Jemarican.

Menurutnya, faktor utama ialah angin.

“Angin kencang di tempat pembakaran, tetapi apabila tiba di Thailand, angin lemah, menyebabkan jerebu itu statik lebih lama,” katanya.

Pegawai di Lapangan Terbang Hatyai berkata, tiga penerbangan dari Bangkok terpaksa ditunda semalam kerana jerebu selepas satu penerbangan terpaksa diarah mendarat di Surat Thani, kelmarin.

Awal bulan ini, beberapa penerbangan yang penuh dengan pelancong menuju ke pulau peranginan Phuket dan Koh Samui dipaksa berpatah balik.

Pakar berkata keadaan berjerebu sekarang mungkin berpanjangan hingga tahun depan kerana fenomena cuaca El Nino.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 11:19 AM