PASUKAN perubatan Israel cuba membantu lelaki Yahudi yang ditembak polis rejim itu selepas menyangka dia lelaki Palestin.
Agensi

Baitulmaqdis: Polis Israel meneruskan kekejaman mereka apabila menembak mati seorang lagi lelaki Palestin dan mencederakan seorang lagi, semalam.

Polis rejim Zionis itu berkata, kedua-dua lelaki berkenaan sebelum itu dihalang menaiki bas di Beit Shemesh oleh pemandu dan beberapa penumpang lain.

Mereka kemudian didakwa menikam seorang lelaki berhampiran stesen bas itu sebelum ditembak polis yang berada sekitar kawasan berkenaan.

Polis tidak memberi butir lanjut mengenai kejadian berkenaan, termasuk menyatakan sama ada ia bas sekolah.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang memang terkenal kerana memutarbelitkan fakta berkata, kedua-dua lelaki Palestin itu cuba melakukan pembunuhan dalam bas yang penuh dengan pelajar sekolah.

Polis enggan mengesahkan kenyataan pemimpin Zionis itu.

Tentera rejim itu berkata, kedua-dua lelaki berkenaan berasal dari Sureif, berhampiran Hebron di Tebing Barat.

Sejak 1 Oktober lalu, polis dan tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 49 penduduk Palestin dan seorang warga Israel keturunan Arab.

Seorang Yahudi Israel dan seorang pelarian Eritrea juga mati dibunuh penduduk Israel yang menyangka mereka penduduk Palestin.

Dalam kejadian terbaru, seorang lelaki Yahudi ditembak mati ketika bergelut dengan askar Israel yang mengesyaki dia warga Palestin.

Kejadian itu menggambarkan ketakutan yang mencengkam penduduk Israel berikutan keganasan terbaru di rantau itu, berpunca daripada kedegilan dan kesombongan pemimpin Israel dan penduduk Yahudi.

Jurucakap polis Israel Micky Rosenfeld berkata, kejadian itu berlaku apabila lelaki berkenaan enggan menunjukkan kad pengenalannya apabila diminta oleh tentera yang meronda kawasan terbabit.

Pergelutan berlaku sebelum seorang pengawal keselamatan menembak mati lelaki Yahudi berusia 28 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 11:11 AM