BIDEN mengumumkan keputusannya di White House sambil diperhatikan Presiden Obama dan isterinya, Jill.
Agensi

Washington: Naib Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berkata, beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya 2016.

Kenyataannya itu mengakhiri spekulasi selama beberapa bulan, sekali gus menghapuskan halangan terbesar yang mungkin dihadapi Hillary Clinton untuk menjadi calon parti Demokrat pada pilihan raya itu.

Biden, 72, membuat pengumuman itu di Rumah Putih dengan isterinya, Jill dan Presiden Barack Obama berada di sisinya.

Veteran politik itu bagaimanapun berkata, walaupun tidak menjadi calon, beliau tidak akan duduk diam, sebaliknya akan menyuarakan pendapatnya dengan lantang.

Biden sebelum ini bergelut dengan masalah mengenai sama ada beliau dan keluarganya sudah bersedia untuk berdepan dengan kempen getir ketika masih bersedih dengan kematian anaknya, Beau, yang meninggal dunia akibat barah otak Mei lalu.

Spekulasi mengenai penyertaan Biden dalam pilihan raya itu meningkat ketika populariti Hillary merosot dalam kajian pendapat dan persoalan yang semakin meningkat mengenai keikhlasannya serta kepercayaan terhadapnya berhubung penggunaan pelayan e-mel peribadi ketika menjadi setiausaha negara.

Hillary dilaporkan menelefon Biden selepas naib presiden itu mengumumkan keputusannya.

Bekas wanita pertama Amerika Syarikat itu kini perlu berdepan dengan cabaran daripada Senator Bernie Sanders untuk menjadi calon parti Demokrat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 11:03 AM