Proton Wira yang dilanggar dari belakang oleh Nissan Fairlady sehingga melanggar kereta lain menyebabkan pemandu Proton Wira maut. FOTO Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis
Oleh Aizat Sharif
mohd.aizat@mediaprima.com.my


Kangar: Lelaki warga emas maut apabila kereta yang dipandunya dilanggar dari belakang oleh ‘supercar’ dalam kemalangan membabitkan empat kereta di Jalan Kampung Bakau, Kangar malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, mangsa, Abdan Yob, 73 meninggal dunia dalam kejadian yang berlaku pada 8.30 malam itu dan kemalangan membabitkan empat kereta iaitu Proton Wira, Nissan Fairlady, Perodua Kancil dan Proton Gen-2.

"Siasatan awal mendapati kereta Nissan Fairlady yang dipandu oleh seorang pemuda berusia 30an dari arah Jalan Padang Behor hendak ke Jalan Raja Syed Alwi melalui Jalan Kampung Bakau di Kangar

“Apabila menghampiri tempat kejadian, kereta Nissan Fairlady itu yang bergerak di lorong paling kiri jalan itu secara tiba-tiba hilang kawalan dan melanggar kereta Proton Wira yang dipandu oleh mangsa.

"Impak rempuhan bahagian belakang itu menyebabkan kereta mangsa terbabas dan melanggar sebuah kereta Proton Gen-2 yang berhenti di bahu jalan," katanya.

Menurutnya, kereta Proton Gen-2 itu melanggar pula kereta Perodua Kancil yang turut berada di bahu jalan itu.

"Abdan yang parah meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kecuaian ketika memandu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 3:10 PM